13 Mei 2012

Adat Nikah Kahwin Orang Kelantan

Adat Nikah Kahwin Orang Kelantan


 
Mungkin istilah ” tidak ada adat “, ” tiada beradat ” , ” tidak mementingkan adat “, ” tidak mengikut adat “, atau seumpamanya itu kurang tepat kerana bagi orang Kelantan, adat itu memang ada dan diutamakan dan yang dikatakan adat itu adalah apa yang telah ditetapkan oleh syarak, baik Al Quran mahupun As Sunnah …

Bak kata orang Minang,

“ Adat basandi syarak, syarak basandi kitabuLlah, syarak mangato adat mamakai ” *
ungkapan di atas dikatakan muncul setelah berlakunya krisis pada awal abad ke-19
antara kem tradisionalis Minang yang berpegang erat kepada Hukum Adat khususnya
Adat Perpatih dan lain-lain amalan pra-Islamik, dengan kem Tuanku Imam Bonjol,
seorang reformis Minang yang mahukan Hukum Islam diletakkan mendahului Hukum
Adat di bumi Minang. Apa yang ironik, perselisihan ini berakhir dengan kejatuhan
kuasa politik Orang Minang ke tangan Belanda. Satu kisah sejarah yang cukup
memberikan pengajaran dan wajar dijadikan renungan bersama.

Boleh baca kisahnya di sini …

( Kini wajah Tuanku Imam Bonjol menghiasi nota Rupiah Indonesia 5000 )
Dari ungkapan di atas maka lahir pula, ” Biar Mati Anak, Jangan Mati Adat “,
yang kini menjadi bahan sindiran sinis, ” kalau mati anak, siapa yang nak bawa adat ? “
oleh ramai pihak, seperti yang saya pernah dengar dari satu lagi yang dibawa oleh
Tan Sri S.M. Salim ( lagu apa yer ? )

Oleh yang demikian, dalam hal nikah kahwin pun, Orghae Kelaté sebenarnya sangat mengikut adat, tetapi setakat mana yang disyarakkan oleh Islam sahaja. Mana yang tidak, akan dinyahkan ( contoh yang paling jelas adalah Adat Bersanding / Menepung Tawar yang telah dilenyapkan oleh Orghae Kelaté kerana dikatakan tidak Islamik dan meniru amalan pra-Islamik i.e. Hindu ) …

Mudah kata, apa yang diungkapkan orang Minang, sebenarnya telah dikotakan oleh orang Kelantan !
Disclaimer : Kenyataan di atas tidak terbit kerana Kelantan kalah dengan Negeri Sembilan dalam Piala Malaysia lepas .. atau kerana sebarang niat selain suci hati .. )

Baiklah …
Yang berikut adalah apa yang saya dapat kumpulkan berkenaan adat nikah kahwin di Kelantan.
Dipersilakan beri maklum balas atau teguran jika apa yang saya faham di sini adalah tidak tepat atau perlukan huraian / penjelasan lebih lanjut :

DARIHAL SEBELUM NIKAH :

1) Merisik
Dikatakan tidak berbeza dengan apa yang diamalkan di negeri-negeri lain.
Wakil keluarga si lelaki atau pihak ketiga yang ‘ ditugaskan ‘ oleh pihak lelaki, akan mengadakan lawatan ke rumah keluarga si perempuan.
Sekiranya ” line clear “, adakalanya pihak lelaki akan menghadiahkan sebentuk cincin belah rotan sebagai tanda ” pre-booking ” …
Seterusnya, peminangan ( booking ! ) akan menyusul.

2) Meminang ( Bertunang )
Biasanya Orghae Kelaté tidak menekankan pertunangan.
Biasanya terus kahwin atau bertunang hari ini, esok kahwin. Sebab tak baik simpan lama-lama .. he he ~ ( ” huduh benar duk kileik anok orghae “, kata Orghae Kelaté )
Tetapi bukan bermakna tiada atau ianya sesuatu yang asing.
Bahkan sekarang, saya lihat makin ramai yang nak bertunang dahulu, malah semakin gah, lengkap dengan hiasan ala ala pelamin ( “ manjangae ” kata Orghae Kelaté )
Yang pasti, majoriti majlis pertunangan di Kelantan adalah biasa-biasa sahaja, dan yang boleh dikatakan ” noteworthy ” adalah pada ” hadiah pertunangan ” di mana Orghae Kelaté lebih mengutamakan barangan berbanding pemberian makanan yang diamalkan di sesetengah negeri-negeri lain ( khususnya di sebelah Utara ? ) …

3) Pernikahan
Bagi Orghae Kelaté, ‘ hantaran ‘ akan diangkat dalam akad nikah bersekali dengan mas kahwin yang telah ditetapkan nilainya mengikut negeri.
‘ Hantaran ‘ bagi orang Kelantan adalah hak milik si pengantin perempuan dan tidak boleh disentuh sama sekali sebagai ” Belanja Kahwin ” melainkan mendapat persetujuan si pengantin perempuan ( jangan harap lah ! ) ..

Pendek kata, ” belanja kahwin ” lain cerita !

( cerita ” belanja kahwin ” duduk dalam tajuk seterusnya, ” Darihal Selepas Nikah ” )

Gambar hiasan …

Sebuah Majlis Pertunangan di LUAR Kelantan …
DARIHAL SELEPAS NIKAH ( MAJLIS KENDURI ) :

* sebelum tu, jenguk lah ini dulu “ Distinctively KeLaTte : BAEKWOH ” ….
Baekwoh = Kenduri Kahwin !!

Adalah menjadi kebiasaan di Kelantan, bagi perbelanjaan baekwoh ( belanja kahwin ) di pihak pengantin perempuan tidak ditanggung sepenuhnya ( atau kesemuanya ! ) oleh pihak pengantin lelaki.
Tiada ketetapan seperti yang biasa diamalkan di luar Kelantan di mana pihak lelaki semestinya menanggung kenduri di sebelah pengantin perempuan tetapi sebaliknya tidak berlaku bagi kenduri sebelah pengantin lelaki !

Sebaliknya ” Belanja Kahwin ” di Kelantan di ” cover ” dengan tatacara berikut :

1) Mengaellae / Ngaellae
( Entah lah, apa makna “ Mengaellae ” dalam bahasa standard ? )
Tetamu datang dengan membawa duit hadiah ( duit ngaellae, kata Orghae Kelaté ) dengan menghulurkan terus kepada ibu / bapa pengantin.
Jumlah standard tidak ditetapkan tetapi pemberian antara RM 10 ~ RM 50 adalah paling biasa diamalkan. Bawah daripada jumlah biasa tersebut, biasanya orang malu nak hulur atau tak akan hulur !
( Jangan kasi 50 sen dah la ! )
Niat ngaellae ini dapat diketahui dengan terang dan jelas melalui perkataan “ Walimatul Urus ” atau “ Majlis Perkahwinan ” pada kad jemputan.

2) Ngaellae Baessae
( “ Baessae ” atau dalam bahasa standard, ” Bisan ” atau ” Besan ” )
Bisan saling memberikan duit belanja kahwin berdasarkan jumlah kepala tetamu yang pihak masing-masing ingin jemput.
Contohnya, majlis kahwin diadakan di pihak lelaki, ibu bapa pihak perempuan mahu menjemput 100 orang dari kalangan kenalannya ke majlis pihak lelaki itu, atas kos RM 15 sekepala. Maka, dia akan beri RM 1500 belanja kahwin kepada pihak lelaki atas nama “ngellae baessae”.
Dalam erti kata mudah, masing-masing saling menanggung kos majlis kahwin di kedua-dua belah pihak.

3) Majlis Kesyukuran
Tetamu dijemput datang untuk dijamu dan diraikan sahaja.
Duit ngaellae tidak diharapkan bahkan adakalanya menjadi ” taboo ” jika dihulur. Sekiranya terhulur juga, tuan rumah akan menolak dengan sopan, dengan ayat seperti,
“ Eh, bukae wak ngaellae nih, kesyukurae jah. Sippae sippae ~ ”.
Tiada ketetapan siapa yang perlu menanggung kos majlis.

Biasanya ditanggung oleh ibu bapa ( jika kaya raya ! ) atau pengantin atau kedua-dua, hanya di pihak yang ingin mengadakan majlis. Mudah kata, pihak lelaki tanggung sendiri majlis di pihak lelaki, dan begitulah sebaliknya di pihak perempuan ( jika dia mahu adakan kesyukuran dan bukan ” ngaellae ” ).
Namun demikian, adalah sopan jika tetamu datang dengan membawa hadiah berupa barangan kepada pengantin dan bukannya berlenggang dengan tangan kosong. Kalau di kampung-kampung, adalah menjadi kebiasaan untuk menghadiahkan gula, susu pekat manis atau beras segantang ….
Niat ” kesyukuran ” ini dapat dibaca dari perkataan ” Majlis Kesyukuran ” yang tertera pada kad jemputan.

( Saya dapati trend Majlis Kesyukuran semakin popular di Kelantan pada masa sekarang, tidak kira di pihak lelaki mahupun perempuan )

4) Ngennar
Terbitan dari perkataan ” memperkenal “.
Keluarga pengantin akan mengumumkan, semasa majlis kenduri berlangsung, kepada sekalian tetamu untuk masuk bertemu, bersua muka dan berkenalan dengan pengantin.
Semasa masing-masing bersalam dengan pengantin, sampul berisi wang akan diselitkan ke tangan pengantin, dan wang tersebut adalah bagi maksud perbelanjaan kenduri kahwin berkenaan dan biasanya bukan bagi simpanan peribadi pengantin.
( Lebih kurang macam “ ngaellae ” jugak laa … )

KESIMPULAN
Adat perkahwinan Orghae Kelaté boleh disimpulkan :
1) Demi memudahkan ….
    Mengutamakan kelancaran proses nikah kahwin itu sendiri dengan niat bagi  memudahkan dan menggalakkan orang bernikah kahwin selain turut bertujuan  menjaga hubungan antara pihak keluarga lelaki dan pihak keluarga perempuan.
2) Bukan Untuk Dijual !
    Tidak mahu mewujudkan sangkaan ” jual mahal ” atau ” jual anak “  ( seolah ingin ” memeras ” pihak lelaki dengan ” tebusan ” dsb ).  Bagi Orghae Kelaté, kedua-dua pihak dilihat perlu saling berkorban, yakni saling rugi  dan saling untung, demi ‘ mendirikan masjid ‘ …  Pendek kata, Mek Kelaté tidak ” demanding ” ! Eheh ~
3) ” Awae, carghi orghae Kelate lah ! “
    Peningkatan Orghae Kelaté yang berkahwin dengan ‘
orghae luwaa
     ’  ( bukan Anak Kelantan ) menyebabkan berlakunya ” pertembungan budaya “  yang tidak kurang malah sering juga mencetuskan keresahan di pihak Orghae  Kelaté, khususnya bagi kaum lelaki, sehingga menyebabkan ayat berikut  menjadi semakin popular di kalangan ibu bapa di Kelantan pada masa kini :  “
Awae, carghi orghae Kelate lah, mudoh bassor sennae kirgho …
     ”  He he he he ~
Diulangi, apa yang saya nyatakan di sini hanyalah dari tinjauan, pemantauan dan temubual sendiri sahaja.
Kalau salah, perlu diperbetul atau perlu ditambah, dipersilakan dengan segala hormatnya !!
Jemput, jemput ! Sila, sila ! Tambahlah, tambah !

( macam ajak makan baekwoh pula ! Aha ha ha ~ )

Sebuah majlis perkahwinan di pihak lelaki di Kota Bharu.
Bersanding bukan amalan orang Kelantan, yang ini diadakan cuma untuk bergambar
kenang kenangan sahaja.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana sudi meninggallkan komen yang baik untuk SEO blog.