Home » , » Unit Trust - Penting Masuki Pasaran Masa Betul

Unit Trust - Penting Masuki Pasaran Masa Betul

Biasanya ungkapan ‘apa yang naik pasti akan turun’ ini digunakan untuk menerangkan graviti, tetapi ia juga boleh digunakan untuk menggambarkan kitaran ekonomi. Ekonomi tidak berada di satu garisan lurus, sebaliknya ia berkembang, merudum ke dalam kemelesetan dan kemudiannya mula pulih semula yang membawa kepada pengembangan berikutnya. Kitaran ekonomi dipacu oleh pelbagai faktor seperti kitaran kredit, gelembung aset, demografi dan penemuan ulung teknologi.

Sebagai contohnya, ekonomi Malaysia mengalami kemelesetan teruk pada tahun 1998 ekoran krisis kewangan Asia. Setelah pulih pada tahun 1999 dan 2000, ekonomi Malaysia perlahan semula pada tahun 2001 disebabkan kemerosotan ekonomi global berikutan penguncupan teknologi yang diterajui oleh Amerika Syarikat (AS).
Dalam kemelesetan ekonomi global tahun 2009 baru-baru ini, ekonomi Malaysia menguncup sebanyak 1.7 peratus kerana eksport dijejaskan oleh penurunan ekonomi AS dan ekonomi-ekonomi utama lain dalam suasana keadaan kredit yang ketat dan pasaran kerja yang lemah.
Pada umumnya, istilah kitaran ekonomi (atau kitaran perniagaan) merujuk kepada turun naik dalam aktiviti ekonomi di sekitar arah aliran pertumbuhan jangka panjang, dan secara tipikalnya melibatkan peralihan di antara tempoh pertumbuhan yang agak pesat (lonjakan atau lambungan) dan tempoh penurunan relatif (kemerosotan atau kemelesetan).

Bila masa yang betul untuk beli unit trust?
Kitaran ekonomi yang tipikal mempunyai lima fasa.
1. Pemulihan permulaan
Fasa pemulihan permulaan, yang biasanya merupakan fasa pendek selama beberapa bulan, menandakan tempoh apabila ekonomi mula-mula pulih daripada kemelesetan atau kelembapan. Selalunya terdapat inisiatif rangsangan kerajaan yang dilaksanakan seperti perbelanjaan rangsangan dan/atau kadar faedah yang rendah. Keyakinan perniagaan semakin meningkat dan inventori mula dibina semula. Namun, dengan kadar pengangguran yang masih lagi tinggi, keyakinan pengguna mungkin masih rendah.
2. Lonjakan awal
Ini merupakan fasa yang paling sihat dalam kitaran ekonomi kerana pertumbuhan boleh jadi teguh tetapi tidak terlalu pesat atau inflasi tidak lebih tinggi. Fasa ini biasanya berlanjutan selama satu tahun hingga beberapa tahun asalkan pertumbuhan tidak terlalu pesat dan pada kadar yang mampan. Dalam tempoh ini, pembinaan semula inventori yang kita saksikan dalam tempoh pemulihan permulaan membawa kepada aktiviti pengambilan pekerja yang lebih rancak oleh firma-firma dan oleh sebab pengupah meningkat, keyakinan pengguna juga meningkat. Ini pula membawa kepada jualan yang kukuh. Bagi menampung peningkatan permintaan barangan dan perkhidmatan mereka, perniagaan melabur untuk mengembangkan keupayaan.
3. Lonjakan lambat
Ekonomi kini beroperasi pada keupayaan penuh dan menghadapi bahaya akan menjadi terlalu rancak/pesat. Keyakinan adalah tinggi di kalangan pengguna dan perniagaan, dan pengangguran adalah pada paras yang sangat rendah. Inflasi semakin meningkat dan upah bertambah tinggi kerana berlaku kekurangan tenaga pekerja. Untuk memerangi kenaikan inflasi, bank-bank pusat menaikkan kadar faedah.
4. Perlahan
Ekonomi menjadi perlahan, biasanya akibat kadar faedah yang lebih tinggi. Keyakinan perniagaan mula goyah, dan firma mula mengurangkan inventori mereka, sekali gus memberi kesan tidak langsung terhadap pengangguran dan perbelanjaan sektor swasta.
5. Kemelesetan
Kemelesetan secara konvensionalnya ditakrifkan sebagai pertumbuhan KDNK negatif selama dua sukuan berturut-turut. Dalam fasa ini, selalunya terdapat kemerosotan inventori yang besar dan penurunan dalam pelaburan perniagaan. Pengangguran boleh meningkat dengan cepat, sekali gus menekan inflasi turun. Perbelanjaan pengguna untuk barang-barang tahan lama merosot. Dalam kemelesetan teruk, sistem kewangan mungkin tertekan oleh hutang lapuk, lantas membuatkan bank-bank berhati-hati memberi pinjaman.
Oleh sebab setiap fasa kitaran ekonomi melibatkan dinamik yang berbeza – kadar inflasi, keyakinan pengguna dan perniagaan, kadar penggunaan keupayaan, kadar pengangguran dan keberuntungan korporat yang berbeza-beza – maka fasa kitaran ekonomi boleh memberi kesan yang besar kepada bagaimana sektor ekonomi yang berbeza dan pelbagai bahagian pasaran modal mencatatkan prestasi. Prestasi unit amanah akan dipengaruhi sewajarnya, bergantung pada aset dan sektor di mana pelbagai dana dilaburkan.
Peringatan
“Ramalan adalah sukar, terutama sekali tentang masa depan.” – Yogi Berra.
Gambaran yang diberikan mengenai kitaran ekonomi yang tipikal dan kesannya ke atas prestasi pasaran mungkin menampakkan bahawa membentuk jangkaan pasaran dalam jangka pendek dan jangka sederhana adalah agak jelas dan mudah. Namun begitu, titik perubahan kitaran ekonomi selalunya sukar diramalkan. Fasa-fasa kitaran ekonomi yang berlainan mungkin berbeza-beza dari segi tempoh dan amplitudnya. Kemelesetan mungkin teruk (misalnya, kemelesetan tahun 1930-an dan awal 1980-an) atau ia mungkin tidak berpanjangan dengan hanya penurunan kecil dalam pengeluaran dan peningkatan sederhana dalam pengangguran. Pelabur yang berhati-hati juga perlu ingat bahawa urutan pelbagai fasa kitaran ekonomi adalah tidak tetap. Fasa tertentu dalam kitaran ekonomi mungkin tidak berlaku dan fasa sebelumnya juga mungkin terbalik.
Disebabkan oleh sukarnya menetapkan masa yang sesuai untuk memasuki pasaran secara tepat, terdapat beberapa peraturan yang boleh memberi faedah kepada portfolio pelabur dalam jangka panjang, serta mencegah kejadian “melabur semasa harga tinggi dan keluar semasa harga rendah”. Memastikan pempelbagaian portfolio yang secukupnya dengan melabur dalam unit amanah misalnya, merupakan salah satu peraturan tersebut, ataupun dikenali sebagai “tindakan tidak memasukkan semua telur anda di dalam sebuah bakul”.
Melabur untuk jangka panjang juga merupakan satu lagi peraturan baik yang akan menolong menghindari jualan panik semasa pasaran jatuh oleh pelabur yang terpengaruh dengan prestasi jangka pendek pasaran. Pelabur juga boleh mengguna pakai amalan pemurataan kos ringgit, iaitu membeli jumlah ringgit tetap unit amanah atau pelaburan lain secara kerap tanpa menghiraukan harga unit. Dengan kerap melabur dengan jumlah tetap, pelabur boleh mengambil kesempatan ke atas kejatuhan harga pasaran tanpa perlu bimbang tentang bila ia akan berlaku.
Rencana ini disumbangkan oleh Public Mutual Bhd., syarikat unit amanah swasta yang terbesar di Malaysia. Untuk maklumat lanjut, sila dail Talian Perkhidmatan Pelanggan Public Mutual di 03-6207 5000 atau layari www.publicmutual.com.my.


Terima kasih kerana membaca Unit Trust - Penting Masuki Pasaran Masa Betul. Jika berguna, tolong kongsikan di media sosial.

« Previous
« Prev Post
Next »
Next Post »

Tips Berkaitan



0 Komen:

Catat Ulasan