Home » » Ramadan sia-sia apabila ibadat bertukar adat

Ramadan sia-sia apabila ibadat bertukar adat

Umat Islam di Malaysia berbelanja besar sambut puasa, lebaran
Kajian sebuah persatuan pengguna mendapati umat Islam di Malaysia membelanjakan 70 peratus daripada pendapatan mereka untuk keperluan Ramadan dan Syawal tahun lalu. Kira-kira seorang daripada 10 yang ditinjau mengakui terpaksa menggunakan kad kredit untuk keperluan berbuka puasa di restoran mewah dan hotel, atau beli-belah.
Jangan terperanjat bajet di bazar Ramadan setiap hari membabitkan urus niaga besar - RM10,000 di seluruh negara!

Seperti tahun sebelumnya, isu tangkapan tidak puasa berlaku setiap tahun. Pada minggu pertama puasa tahun ini, beberapa lelaki ditahan di Klang kerana makan di tempat awam.

Pada minggu pertama Ramadan tahun lalu, tujuh ditahan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) kerana makan di khalayak ramai. Di Kelantan pula seorang lelaki tua ditahan berjudi dan merokok dalam semak pada hari pertama Ramadan tahun lalu.

Sedia pinda akta

Kerajaan Sarawak pula bersedia meminda Seksyen 14 Ordinan Kesalahan Jenayah Syariah 2001 bagi mengenakan hukuman lebih berat kepada umat Islam yang ditangkap tidak berpuasa berikutan jumlah tangkapan meningkat setiap tahun.
Cadangan juga termasuk mengkaji kemungkinan memperkenalkan hukuman khidmat sosial kepada pesalah atau meningkatkan jumlah denda atau tempoh penjara.

Sekitar dua hari Ramadan tahun lalu, seramai 25 orang ditangkap Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) kerana tidak puasa dan makan di khalayak ramai. Bagaimanapun Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bercadang menaikkan jumlah denda tidak puasa, di samping meningkatkan penguatkuasaan.

Kita tentunya tidak hairan kenapa Ramadan dikaitkan dengan pembaziran atau tangkapan tidak puasa. Lazimnya Ramadan dianggap bulan rahmat dan kita sepatutnya mendekatkan diri kepada Allah, di samping menunaikan tanggungjawab sosial dengan berzakat dan menderma.

Memang diakui ada yang mendekati masjid dan menunaikan solat Tarawih. Bagaimanapun yang terbabit dengan amalan lain tidak dapat dielakkan kerana ada segelintir kalangan kita yang menjadikan Ramadan sebahagian daripada warisan budaya.

Melayu mungkin berubah dari segi pemikiran, ekonomi dan cara hidup. Tapi masih ramai sukar membezakan amalan agama dan warisan. Kesan langsung Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan selepas insiden 13 Mei 1969 mengubah sebahagian Melayu menjadi penduduk kota dan menikmati peluang prasarana sempurna.

Kewujudan istilah Melayu baru muncul apabila mereka dikaitkan dengan sektor korporat dan menerajui pelbagai syarikat nau ngan kerajaan. Budaya baru mencetus persaingan dalam pelbagai sektor.

Gaya hidup berubah

Kehidupan sebahagian bangsa Melayu juga turut berubah. Bukan sekadar pencapaian ekonomi dan taraf hidup, bahkan selera politik dan menanggapi kepentingan kuasa.

Kuasa sering dikaitkan dengan ekonomi dan kewangan. Kehidupan berbeza dari sebelumnya mendorong sikap boros yang akhirnya terpalit kepada pembaziran, termasuk pada Ramadan. Ada pihak yang menjadikan ibadat sebagai adat saja.

Kuasa juga memberi ruang kepada politik wang. Persaingan kuasa membabitkan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah pada 1987 memberi kesan tersendiri kepada bangsa Melayu.

Pemilihan pucuk pimpinan UMNO ketika itu bukan saja membabitkan sebuah parti politik, juga kesannya kepada Melayu. Kuasa beli dan tawar menawar dilihat jauh berbeza daripada sebelumnya.

Kita tidak tahu dari mana datangnya politik wang, seperti juga sukar meramalkan siapa yang mencipta istilah Melayu baru dan boros berbelanja untuk mendapatkan pengaruh.

Namun gerakan kepartian mula ditafsir dalam bentuk baru. Bukan saja UMNO, parti lain juga berkembang dengan cara tersendiri. PAS yang sebelumnya dianggap sekular pimpinan Tan Sri Asri Muda, kononnya lebih Islamik pada dekad 90-an.

Budaya Melayu baru membentuk sistem siasah dan perbelanjaan seharian. Ramadan bukan saja dikaitkan dengan unsur agama, bahkan ada yang menjadikan tazkirah di masjid sebagai medan menyerlahkan perjuangan siasah.


Terima kasih kerana membaca Ramadan sia-sia apabila ibadat bertukar adat. Jika berguna, tolong kongsikan di media sosial.

« Previous
« Prev Post
Next »
Next Post »

Tips Berkaitan



0 Komen:

Catat Ulasan