Home » » 3 terima Anugerah Tokoh Hari Malaysia

3 terima Anugerah Tokoh Hari Malaysia

 Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan anugerah Tokoh Hari Malaysia kepada Tan Sri Hamdan Sirat pada Sambutan Hari Malaysia Ke-49 semalam. Foto Bernama
BINTULU -  Bekas ketua menteri Sabah, Tan Sri Harris Salleh, bekas Pesuruhjaya Polis Sarawak Tan Sri Hamdan Sirat dan pelukis terkenal Ismail Embong adalah tiga penerima Anugerah Tokoh Hari Malaysia pada tahun ini.

Selain itu, dua atlet paralimpik negara, Hasihin Sanawi dan Muhamad Ziyad Zolkefli, yang masing-masing merangkul pingat perak dan gangsa pada temasya Sukan Paralimpik London 2012, turut menerima Anugerah Khas Pencapaian Cemerlang.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan anugerah tersebut selepas merasmikan majlis sambutan Hari Malaysia ke-49 di sini malam tadi.

Harris, 82, diberi pengiktifran kerana membawa pembangunan ekonomi yang pesat semasa menjadi ketua menteri keenam dari 6 Jun 1975 hingga April 1985.

Tokoh politik veteran itu telah mempelbagaikan sumber ekonomi Sabah dari terlalu bergantung kepada sumber pembalakan kepada pelancongan serta membangunkan ekonomi penduduk desa.

Hamdan, 92, selain mencipta sejarah anak tempatan pertama menjadi Pesuruhjaya Polis Sarawak selama 10 tahun mulai 1 Okt 1969 hingga 21 Dis 1979, beliau pernah mencipta sejarah unik apabila dilantik sebagai pemangku Yang Dipertua Negeri sebanyak dua kali iaitu pada 1978 dan 1982.

Pencapaian beliau dalam menangani ancaman komunis di Sarawak pada tahun 1970-an dan sumbangan beliau dalam memajukan perkhidmatan awam kerajaan negeri sehingga diiktirf antara terbaik di negara ini.

Ismail, 61, pernah menjadi pelukis undangan ketika Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu dikenali sebagai Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dengan karya terkenalnya 'Tujuh Negarawan'
yang memaparkan lukisan bekas presiden dan presiden Umno sekarang.

3 terima Anugerah Tokoh Hari Malaysia


Karya terkini Ismail ialah 'Sulalatus Salatin Empayar Kesultanan Melayu Melaka' yang pernah dipamerkan di Balai Seni Visual Negara.

Karyanya mengisahkan peristiwa sejarah melalui 49 buah lukisan termasuk saat kegemilangan dan kejatuhan empayar Melaka pada abad ke-15, yang dirujuk daripada buku Sulalatus Salatin - Sejarah Melayu terbitan Dewan Bahasa dan Perpustakaan pada 1979.

Sementara itu, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dalam ucapannya pada majlis itu merakam penghargaan kepada semua yang terlibat dalam penganjuran sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan itu di sini. - Bernama


Terima kasih kerana membaca 3 terima Anugerah Tokoh Hari Malaysia. Jika berguna, tolong kongsikan di media sosial.

« Previous
« Prev Post
Next »
Next Post »

Tips Berkaitan



0 Komen:

Catat Ulasan