Home » » Cerai tebus talak

Cerai tebus talak

PERCERAIAN melalui lafaz talak adalah perceraian yang menjadi hak suami kerana hanya suami sahaja yang boleh melafazkan talak tersebut. Ia tidak akan menjadi sah jika isteri yang melafazkan talak. Isteri mempunyai hak yang jelas memohon fasakh dan jika mahkamah puas hati bahawa isteri dapat membuktikan apa yang dihujahkan, maka mahkamah akan menceraikan pasangan.
Cerai taklik adalah kombinasi hak suami dan isteri. Di mana, suami jika telah meletak syarat dan jika syarat itu berlaku, maka isteri perlu membuat permohonan untuk mendapatkan cerai kerana syarat yang disebutkan telah berlaku.
 
Satu lagi jenis perceraian ialah cerai tebus talak atau khul'. Khul' bermakna cabut dan buang. Menurut Hanafi, khul' adalah menghilangkan milik nikah yang memerlukan penerimaan isteri dengan lafaz khulu' atau sama erti dengannya.
Bagi Maliki, khulu' adalah talak dengan gantian atau tebusan sama ada tebusan itu daripada isteri atau suami.
Bagi Mazhab Shafi'i, khul' ialah perceraian suami isteri dengan bayaran atau tebusan dengan menggunakan lafaz talak atau khul'.
Bagi mazhab Hanbali, khul' adalah perceraian suami isteri dengan tebusan yang dibayar isteri atau daripada orang lain dengan menggunakan lafaz tertentu. Khul' disyariat melalui surah al-Baqarah ayat 229 yang bermaksud: ..Maka tidaklah mereka berdosa mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya…
 
Dalam surah al-Nisa: 4 bermaksud: ..kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian daripada mas kahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat lagi baik kesudahannya.
Khul' juga diasaskan kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas yang berbunyi: Sesungguhnya isteri Thabit bin Qais datang kepada Rasulullah SAW dan berkata, Wahai Rasulullah SAW sesungguhnya saya tidak mengaibkan akhlak dan agama (suami saya Qais) tetapi sesungguhnya saya tidak menyukainya dan tidak mahu hidup bersamanya. Menyebabkan saya melakukan maksiat (atau kerana kebencian yang bersangatan akan mendorongnya menzahirkan kekufuran supaya terfasakh perkahwinan)."
"Mahukah kamu kembalikan kepadanya kebun (yang dijadikan maharmu)?" Jawab isteri Qais, "Ya". Kemudian Rasulullah SAW bersabda (kepada Qais): "Terimalah kembali kebun itu, dan ceraikan dia satu talak."
 
Hadis ini menunjukkan bahawa seorang isteri boleh menceraikan dirinya daripada suaminya melalui tebus talak, iaitu dengan mengembalikan semula mahar atau mas kahwin yang telah diberikan oleh suami kepadanya semasa akad dahulu.
Hadis ini juga jelas maksudnya, di mana isteri memohon untuk menebus dirinya ini bukan kerana kekurangan suaminya tetapi kerana dia sengat benci kepada suaminya. Kebencian itu menyebabkan dia tidak dapat melaksanakan tugasnya sebagai isteri.
Kes ini sangat menarik kerana di zaman Rasulullah lagi telah ada wanita yang tidak sanggup tinggal bersama suaminya kerana terlalu membencinya.
Isu kebencian adalah soal hati yang sangat rumit. Jika mulanya cinta setinggi langit, sedalam lautan, tiba-tiba selepas hidup bersama, sesingkat sebulan atau selama 25 tahun, perasaan benci menebal hingga tidak dapat dibendung lagi. Daripada mereka hidup sebagai suami isteri dalam keadaan kebencian yang boleh menjejas anak-anak, maka adalah lebih baik mereka bercerai.
 
Dari segi hukum khul' adalah sunat berdasarkan hadis mengenai isteri Qais ini. Jika suami amat menyintai isterinya, maka hendaklah dia cuba memujuk isteri dan menyabarkannya supaya tidak memohon khul'. Khul' adalah batal jika isteri dipaksa memohon khul'. Misalnya, isteri didera suami dan suami enggan melafaz talak kerana tabiat buruknya. Kerana terlalu tersiksa, isteri memohon khul' kerana sudah tiada cara memohon cerai. Permohonan fasakhnya pula terlalu lama dan belum menjanjikan keputusan yang diharapkan. Jadi dia memohon khul' dan suami secara sewenang meletakkan harga ke atas khul' itu. Perbuatan itu berdosa berasakan surah al-Nisa ayat 19: ..Dan janganlah kami menyakiti mereka (dengan menahan dan menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian daripada apa yang kamu berikan kepadanya…
 
Perbuatan memaksa isteri mengembalikan mahar atau membayar sejumlah wang untuk menceraikan ini adalah perbuatan orang fasik dan ia berdosa. Khul' dibenarkan dalam keadaan di mana suami dan isteri takut tidak dapat melaksanakan hukum Allah jika terus berkahwin.
Kebanyakan ulama berpandangan khul' makruh atau tidak dibenarkan dalam keadaan yang mana isteri terpaksa memohon khul' kerana tidak sanggup hidup terseksa secara berterusan.
Ini bermakna kedua-dua pihak mesti bersetuju bahawa mereka bercerai secara khul' dan bersetuju jumlah khul' yang hendak dibayar.
Khul' tidak sah jika suami berkata, "Aku khul' kamu dengan RM1000 sedangkan isteri berkata, "Aku terima dengan RM800." Bahasa mudahnya, jumlah khul' mesti sama.
 
Menurut Maliki, Shafii dan Hanbali khul' adalah pertukaran. Khul' sah sebaik sahaja pertukaran berlaku dengan lafaz. Jika isteri mati sebelum sempat membayar khul', maka ia boleh diambil daripada pusakanya.
Mazhab Shafii berpendapat bahawa khul' adalah akad pertukaran yang bercampur dengan taklik, kerana jatuh talak bergantung kepada penerimaan isteri untuk membayar tebus talak atau tukar ganti daripada harta.


Terima kasih kerana membaca Cerai tebus talak. Jika berguna, tolong kongsikan di media sosial.

« Previous
« Prev Post
Next »
Next Post »

Tips Berkaitan



0 Komen:

Catat Ulasan