Home » » Duit jual rumah biayai umrah

Duit jual rumah biayai umrah

EMPAYAR perniagaan Zakaria Hassan iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Fayrooz Marketing Sdn. Bhd., pernah jatuh merudum tahun lalu sehingga dia terpaksa menjual dua buah rumahnya untuk menyelamatkan perniagaan.
"Tetapi sebelum perniagaan saya jatuh, saya telah berniat atau sangat berhajat untuk membiayai kos ibadat umrah untuk sembilan orang jemaah.
"Lalu dengan hasil jualan rumah itu saya meneruskan niat tersebut walaupun sepatutnya digunakan untuk membangunkan semula perniagaan," katanya yang merupakan seorang ahli peniagaan yang berjaya dan dikenali ramai.
Balasan yang diterimanya selepas itu amatlah menakjubkan, perniagaannya tidak sahaja pulih malah begitu maju dengan membuka pelbagai cawangan termasuk di luar negara.
 
Biarpun tidak mengharapkan balasan, beliau percaya semua itu berkat doa daripada jemaah yang dibantu untuk mengerjakan umrah berkenaan.
Sebagai tanda syukur dan berterima kasih kepada Allah atas bantuan dan nikmat dari-Nya, Zakaria menubuhkan Fayrooz Marketing Sdn. Bhd. dengan kerjasama Fayrooz Travel Associates bagi menjayakan Program Umrah Rakyat.
Program ini memberikan peluang kepada golongan yang kurang berkemampuan mengerjakan umrah menerusi pakej istimewa.
Beliau memberitahu, dalam bulan Jun tahun ini sahaja, 80 jemaah kumpulan pertama perintis program itu selamat pulang daripada mengerjakan umrah di bawah Program Umrah Rakyat.
 
Kata Zakaria, menerusi program ini, seorang peserta hanya perlu membayar RM2,999 sahaja untuk membolehkan mereka mengerjakan pakej umrah bernilai RM5,500 yang dikendalikan Fayrooz Travel Associates.
Baki daripada bayaran peserta itu dibayar oleh penaja.
Melalui program itu mereka akan mengerjakan umrah untuk 11 hari sembilan malam dengan menikmati pelbagai kemudahan yang disediakan.
Zakaria sangat bersyukur kerana usaha beliau dan syarikatnya sehingga kini berjaya merealisasikan impian hampir 200 jemaah yang dibantu untuk mengerjakan umrah dengan separuh kos pembiayaannya ditanggung.
 
Zakaria berkata, semua peserta umrah akan ditemani oleh mutawwif yang berpengalaman sepanjang berada di tanah suci.
Dalam pada itu beliau berkata, setakat ini usaha menghantar umrah mereka yang ditaja ini sebenarnya adalah benar-benar berbaloi.
"Bayangkan mereka yang ditaja ini benar-benar memanfaatkan apa yang diberikan kepada mereka dengan beribadat dan mengenepikan soal-soal lain termasuk membeli-belah.
 
"Kami lihat sebaik ada sahaja masa terluang para peserta ini akan melakukan ibadat dengan bersungguh-sungguh ketika di sana.
"Sebenarnya insan-insan seperti ini benar-benar berhajat untuk mengerjakan ibadat umrah kerana peluang seperti ini sukar bagi mereka untuk mendapatkannya.
"Justeru, peluang yang ada dipergunakan dengan sebaik mungkin," katanya yang mengagumi semangat para peserta berkenaan.
Dalam pada itu Zakaria turut mengalu-alukan sumbangan dan sokongan daripada pihak-pihak korporat dalam usaha membantu golongan yang tidak berkemampuan mengerjakan umrah.
 
Ini kerana baginya apabila kebajikan boleh dikongsi, pastinya ia dapat memberikan manfaat kepada semua dan Insya-Allah ganjarannya akan dapat dinikmati bersama.
Katanya, kebajikan seperti ini memerlukan usaha yang berterusan dan diharap ia dapat memberikan manfaat dalam menunaikan impian serta harapan umat Islam yang kurang berkemampuan untuk mengerjakan ibadah umrah dan ziarah di Mekah.
Kepada mereka yang berminat untuk menyumbang bagi menjayakan program ini boleh menghubungi 013-3832206 dan 012-3317408.


Terima kasih kerana membaca Duit jual rumah biayai umrah. Jika berguna, tolong kongsikan di media sosial.

« Previous
« Prev Post
Next »
Next Post »

Tips Berkaitan



0 Komen:

Catat Ulasan