Home » » Goreng gitar G4

Goreng gitar G4

GAYA petikan, jenama dan bunyi gitar kesukaan tidak sama antara satu sama lain. Bukan itu saja, lenggok dan teknik permainan jari-jemari, dua dengan tangan kiri dan dua lagi tangan kanan turut mempengaruhi ramai anak muda mahu bermain gitar seperti idola mereka.
Dari segi peminat pula, nama seperti Man Keedal, Hillary Ang, Kid Search dan Joe Wings sudah lama dikenali sebagai gitaris utama kumpulan hebat seperti Search, Lefthanded, Gersang dan Wings.
Apapun sejarah dan pencapaian mereka, kelibat empat gitaris terbabit akan membuka lembaran baru aksi ‘goreng gitar’ apabila bergabung menjayakan Konsert G4 di KL Live @ Life Centre bermula, 8 malam pada 30 September ini.

Meninjau sesi latihan dilalui mereka kecuali Kid di studio milik Joe di Gombak, Kuala Lumpur, Isnin, lalu cukup menyeronokkan. Pengalaman dan kehebatan masing-masing yang ‘terus jadi’ apabila mengusik cukup mengatakan komitmen dan semangat mereka mahu memberikan persembahan terbaik untuk kepuasan peminat.

Bukan itu saja, latihan G4 itu turut menerima tetamu yang cacat penglihatan. Bagi Mohd Zaid Mat Jusoh, 25, kehadirannya ke studio itu membuatkan Man Keedal, Hillary dan Joe mahu terus bersemangat.

Zaid hadir semata-mata mahu bertemu gitaris diminatinya sejak kecil, Man Keedal. Gitaris berambut panjang itu mengiringi ramai artis termasuk orang lama seperti Datuk DJ Dave, terasa sebak menerima kunjungan Zaid yang hanya mampu mendengar.

Di satu sudut studio berhampiran dram, Man Keedal sempat ‘jamming’ bersama gitar Fender Stratocaster kesayangannya mengiringi Zaid yang mempamer bakat terpendamnya menyanyi beberapa lagu seperti Di Halaman Rindu nyanyian Lefthanded dan Keliru dendangan Ramli Sarip yang mengundang tepukan gemuruh krew studio.

“Man Keedal adalah idola saya. Saya membeli lima tiket untuk menyaksikan G4, empat lagi untuk rakan-rakan saya. Inilah kali pertama saya bertemu abang Man. Sebelum ini, saya pernah ditipu beberapa kali yang menyamar sebagai artis dan duit dompet saya dicuri selepas mereka berjanji membawa saya berjumpa
Man Keedal.

“Kali ini, saya datang menaiki teksi, dapat berada dalam studio Joe Wings, bergambar bersama Hillary dan Man Keedal sendiri bermain gitar ketika saya menyanyi. Inilah detik paling sudah lama dinantikan. Saya reda tidak dapat melihat tetapi hati tidak buta mendengar muzik rock yang sebati dalam jiwa,” kata Zaid yang kini belajar di Persatuan Orang Buta Malaysia di Brickfields.

Ujar Joe pula, konsert 4G adalah julung kali menggabung�kan empat gitaris dalam satu pentas sepanjang sejarah rock bertapak di Malaysia.

“Persiapan teknikal dan susunan muzik dan lagu berjalan lancar. Berada dalam studio bersama Man Keedal, Hillary dan Kid menyeronokkan kerana masing-masing sudah tahu apa perlu dibuat.

“Kami mahu memastikan perjalanan ‘mood’ penonton berada pada tahap terbaik, jadi semua yang akan diketengahkan nanti memang lain dari lain. Kami tidak mewakili mana-mana kumpulan.

G4 akan memainkan lagu-lagu baru, ‘cover version’, ‘tribute’ dan konsert akan diserikan dengan beberapa vokalis undangan khas,” katanya.

Man Keedal antara gitaris mempunyai minat ramai berkata: “Buat Zaid, saya ucap terima kasih kepadanya. Kami sentiasa menerima kehadiran peminat menyokong kami dari dulu hingga sekarang. Buat tiga rakan gitaris, kami mengenali satu sama lain selama hampir 30 tahun dan menghormati gaya permainan masing-masing.

“Konsert ini bukan untuk tunjuk siapa hebat tetapi lebih kepada memberi peminat dengan melodi gitar yang baru. Persembahan ini juga pertama kali diadakan di Malaysia dan Asia menggabungkan empat serentak dengan beberapa segmen.”

Hillary, gitaris lama dikenali bersama album Mentari Merah Di Ufuk Timur serta Langit dan Bumi ditanya,” bagaimana keserasian?

“Tiada masalah kerana semuanya ‘cool’. Keserasian muzik? Kami bercakap bahasa sama iaitu bahasa rock. Konsert ini berbeza dan tidak banyak ‘cut’ berbanding persembahan Suara Kami sebelum ini,” kata Hillary.

KL Live @ Life Centre pernah menjadi lokasi bagi beberapa konsert antarabangsa dari Amerika Syarikat, Jepun dan tempatan seperti Deftones, Loudness dan Cromok sebelum ini.

Harian Metro difahamkan , beberapa kumpulan rock dari Asia Tenggara juga akan ‘turun’ menyaksikan konsert itu.

Harga tiket menyaksikan konsert G4 anjuran RK Polaris adalah RM100 bagi bebas
dan RM120 bagi VIP/Zon Rock.

Keterangan lanjut untuk tiket boleh didapati menerusi tiket hotline. Mereka boleh menghubungi Dino (019-9412345), Aszuad (016-6838444) dan Faiz (019-6249443) untuk maklumat.


Terima kasih kerana membaca Goreng gitar G4. Jika berguna, tolong kongsikan di media sosial.

« Previous
« Prev Post
Next »
Next Post »

Tips Berkaitan



0 Komen:

Catat Ulasan