Home » » Kapal Jepun, Taiwan bertempur

Kapal Jepun, Taiwan bertempur

TOKYO 25 Sept. - Kapal-kapal pengawal pantai Jepun dan Taiwan bertempur menggunakan meriam air hari ini, selepas berpuluh-puluh bot Taipei yang diiringi kapal pengawal, belayar memasuki perairan di sekitar kepulauan Diaoyu yang dikuasai Tokyo.
Rakaman saluran penyiar kebangsaan NHK menunjukkan, kapal pengawal pantai Jepun menyembur air ke arah kapal nelayan Taiwan, menyebabkan kapal pengiring dari Taipei itu bertindak balas membuat perkara sama.
 
Pencerobohan terbesar ke atas wilayah yang dianggap Jepun sebagai miliknya itu adalah insiden terbaru ketika pertikaian berhubung penguasaan kepulauan Diaoyu oleh Tokyo ditentang Beijing dan Taipei.
Taiwan berkata, pegawainya menaiki kapal pengawal yang dihantar ke kawasan itu dengan anggota pengawal pantai elit yang lengkap bersenjata.
Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Osamu Fujimura memberitahu dalam satu sidang akhbar, lapan kapal pengawal pantai dan 40 bot nelayan Taiwan telah memasuki perairan negara ini pada pukul 9 pagi (8 pagi waktu Malaysia) hari ini.
 
 
"Kami telah menghubungi pihak berkuasa Taiwan dan memaklumkan kepada mereka bahawa mereka tidak boleh memasuki perairan kami," katanya.
Seorang jurucakap pengawal pantai Taiwan mengesahkan, hampir 60 bot menghampiri kepulauan itu, dengan beberapa daripadanya berada tiga batu nautika dari pantai, iaitu di dalam kawasan zon wilayah eksklusif 12 batu nautika.
Pengawal pantai Jepun bagaimanapun berkata, kesemua kapal Taiwan itu telah keluar daripada kawasan perairan mereka beberapa jam kemudian. - AFP


Terima kasih kerana membaca Kapal Jepun, Taiwan bertempur. Jika berguna, tolong kongsikan di media sosial.

« Previous
« Prev Post
Next »
Next Post »

Tips Berkaitan



0 Komen:

Catat Ulasan