Home » » Kebebasan bersuara alasan provokasi hina Islam

Kebebasan bersuara alasan provokasi hina Islam

Generasi era Perang Dingin mungkin lebih memahami dan tidak hairan dengan pelbagai provokasi yang dilakukan terhadap umat Islam pada era moden ini.

Mereka sudah mengalaminya ketika masyarakat dunia terbahagi kepada penyokong blok Soviet Union, mereka yang bersekutu dengan negara Barat dan blok negara berkecuali. Pada masa itu, Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya gerun dengan kelibat Soviet dan pengaruh komunis. Di mana ada kepentingan Soviet, pasti ada pemantauan pihak Barat.
Apa tidaknya, medan perang Vietnam menjadi pengajaran kepada tentera AS mengenai semangat musuh mereka yang memegang ideologi komunis.

Sedikit sebanyak industri filem Hollywood membantu mengekalkan ketakutan kepada rejim komunis. Tentu kita masih ingat filem James Bond 007 lakonan Sean Connery dan Roger Moore melawan musuh yang bersekutu dengan Soviet.

Kejadian 9/11

Pada 1979, apabila tentera Soviet menawan Afghanistan, kita lihat Barat membantu pejuang mujahidin hingga musuh mereka berundur. Satu dekad kemudian, landskap antarabangsa sekali lagi berubah dengan robohnya Tembok Berlin pada 1990 apabila Kerajaan Jerman Timur membenarkan rakyatnya melawat Jerman Barat. Selepas itu Soviet Union mengubah dasar untuk memeluk demokrasi. Siapa sangka satu dekad lagi selepas itu, keadaan masyarakat antarabangsa sekali lagi berubah dengan kejadian 9/11 apabila tumbangnya bangunan Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York.

Jika sebelum ini kita selalu dengar mengenai 'teori domino', bagaimana kejatuhan sebuah kerajaan kepada ideologi komunis menyebabkan negara lain di rantau sama turut terancam, selepas 9/11, al-Qaeda mengambil tempat itu.
Jika sebelum ini kita ditakutkan dengan nama pemimpin besar Soviet seperti Josef Stalin dan Vladimir Lenin selain pemimpin Nazi, Adolf Hitler, kini nama yang perlu ditakuti ialah Ayman al-Zawahiri, Mullah Omar dan juga Mahmoud Ahmadinejad. Jadi, pada 9 September 2001, kita menyaksikan bukan saja WTC tumbang tetapi ia proses permulaan untuk mencalar imej Muslim dengan gelaran pengganas, sekali gus agama Islam juga dicanang menggalakkan keganasan.

Lahirlah pandangan sinis seperti 'memang benar ramai Muslim bukan pengganas tetapi ramai pengganas ialah Muslim. Pada masa sama, ada juga isu yang menyukarkan keadaan. Ancaman bunuh terhadap Salman Rushdie, era pemerintahan Taliban di Afghanistan, pengeboman Bali, serangan di Mumbai dan kini di Syria sedikit sebanyak menyebabkan sukar mengikis tanggapan negatif terhadap orang Islam.

Bimbang imigran Islam

Dari satu segi, bagi pihak tertentu untuk menghasilkan filem menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW tidaklah mengejutkan. Islam diiktiraf antara agama paling menarik penyertaan pengikut baru.

Sejak beberapa tahun lalu, ahli politik tertentu di Eropah dan AS memberi amaran kesan buruk kebanjiran imigran Islam. Mereka dituduh menetap di negara Barat kerana merancang untuk menjadi pemerintah pada masa depan dan menguatkuasakan syariah.

Antara ahli politik anti-Islam ialah Geert Wilders yang membuat dokumentari bertajuk Fitna menggunakan ayat suci al-Quran bagi mendakwa Islam menggalakkan keganasan.

Di Britain, Parti Kebangsaan Britain (BNP) dan Liga Pertahanan Inggeris (EDL) sering menuduh Islam mengancam budaya dan penduduk negara itu. Di Sweden, Parti Demokrat mendedahkan rancangan menghentikan pembinaan masjid baru di negara itu.

Kumpulan baru anti-Islam juga muncul di Denmark selepas pemimpin EDL, Stephen Yaxley-Lennon mengadakan mesyuarat pertama rangkaian pertahanan Eropah di Oslo, beberapa minggu lalu.

Ketika protes filem menghina Nabi dilaporkan dari segala ceruk rantau, kemunculan kumpulan anti-Islam yang meningkat di negara Barat menunjukkan teori Samuel Huntington iaitu pertembungan tamadun jadi kenyataan.

Ia disaksikan menerusi bantahan terhadap filem menghina Islam arahan Sam Bacile atau Nakoula Basseley Nakoula dan diperhebatkan lagi oleh penerbitan Perancis, Charlie Hebdo yang menyiarkan kartun menghina Nabi.

Tidak mungkin mereka boleh memberi alasan melakukannya atas nama kebebasan bersuara. Itu satu lagi provokasi menghina Muslim.


Terima kasih kerana membaca Kebebasan bersuara alasan provokasi hina Islam. Jika berguna, tolong kongsikan di media sosial.

« Previous
« Prev Post
Next »
Next Post »

Tips Berkaitan



0 Komen:

Catat Ulasan