Home » » Kelapa hibrid jana lebih hasil

Kelapa hibrid jana lebih hasil



SEJAK tahun 1983, Rumayah Mamun, 64, bergelumang dalam dunia jualan kuih-muih. Sebelum bergelar isteri, Rumayah memang arif menghasilkan kuih Melayu tradisional hasil pembelajaran daripada ibunya.
Pada awal perniagaan, wanita yang dilahirkan di Kuala Lumpur itu memilih nasi lemak berlauk sebagai mata pencarian.

Akibat faktor kesihatan yang tidak mengizinkan, Rumayah terpaksa menjalani pembedahan kaki dan bercuti berniaga untuk tempoh tiga bulan.

Sekembalinya beliau ke lapangan penjualan nasi lemak, beliau dapati telah muncul peniaga lain yang menjual menu serupa. Berkat kesabarannya, Rumayah menukar hala kepada perniagaan laksa dan kuih.
"Alhamdulillah, saya masih mampu bertahan sehingga ke hari ini menerusi jualan kuih-muih. Walaupun perniagaan ini dianggap biasa kebanyakan orang tetapi sambutan yang diperoleh amat memberangsangkan," perlahan suara Rumayah ketika ditemui di Pasar Tani Batu Muda, Batu Caves, Selangor baru-baru ini.

Secara kasarnya, kuih Melayu buatan Rumayah tiada bezanya dengan yang lain. Daripada 20 jenis kuih yang dipamerkan, kira-kira 10 jenis kuihnya berasaskan kelapa.
Saat ditanya tentang perihal itu, Rumayah yang sibuk membuka bungkusan kuih lopes untuk dicelup ke dalam bekas berisi kelapa parut menyatakan, tanpa kelapa, kuih Melayu hilang enaknya.
"Orang Melayu kita memang terkenal dengan masakan berasaskan kelapa. Selain kuih, lauk-pauk lain seperti gulai dan rendang juga menggunakan santan kelapa.
"Kuih-muih yang dijual seperti lopes, cucur badak, tepung bungkus, lepat ubi, lepat pisang, pulut panggang dan banyak lagi sudah tidak dapat dipisahkan daripada kelapa.
"Hendak menerangkan sebab musabab secara ilmiah saya tidak pandai tetapi apa yang saya tahu kuih tradisional dan kelapa saling melengkapi dan tanpanya ia tidak sempurna," cerita Rumayah yang masih membuat kuih lopes dengan cara merebus dan bukannya mengukus seperti yang menjadi amalan masyarakat hari ini.

Dalam seminggu, kuih-kuih Rumayah dijual di tiga buah pasar tani berbeza. Jualan kuih-muih tersebut dilakukan oleh anak lelakinya di Pasar Tani Batu Muda pada hari Rabu, Pasar Tani Gombak setiap Khamis dan Pasar Tani Taman Melawati, Hulu Kelang pada hari Sabtu.
Sebanyak lima hingga enam kilogram (kg) kelapa parut digunakan bagi menampung produksi kuih-muih Rumayah setiap hari.
Berkongsi mengenai bekalan kelapa, Rumayah pantas menjawab Pasar Sentul merupakan satu-satunya lokasi dia mendapatkan bekalan kelapa dari awal penglibatannya dalam perniagaan sehingga hari ini.


Stok kelapa
Beliau tidak pernah rasa sukar bagi mendapatkan stok meskipun segelintir pihak menyifatkan kelapa sebagai bahan mentah yang sukar didapati terutama di bandar-bandar besar dan pada musim perayaan.
Dalam senyuman, Rumayah berbicara: "Peniaga kelapa di pasar itu pun sudah biasa dengan saya. Bayangkan sejak saya dan dia muda, sampai kami berdua bergelar warga emas, urusan jual-beli kelapa masih kukuh.

"Cuma sekarang saya tidak lagi ke sana kerana tidak kuat berjalan. Dalam tempoh dua hari sekali, anak saya akan membeli kelapa di situ. Sekarang ia dijual pada harga RM5 untuk satu kilogram.
"Setakat ini kualiti kelapa yang dijual itu masih sama. Dia hanya menjual kelapa parut putih yang bersih dan tidak seperti sesetengah peniaga yang mencampurkan isi kelapa yang kurang baik."

Menjejak ladang kelapa di Malaysia tidaklah sukar namun tanpa disedari, bayang pohon kelapa sebenarnya semakin suram. Satu persatu pokok daripada keluarga palma atau arecaceae itu tumbang menyembah bumi.
Mendedahkan kisah sebenar di sebalik kegusaran itu ialah pemilik ladang kelapa berkeluasan 0.8 hektar di Kampung Sungai Haji Dorani, Sungai Besar, Selangor, Buani Roski, 63. Ujarnya, ramai peladang tempatan menggantikan tanaman kelapa dengan kelapa sawit yang dilihat lebih komersial dan popular dalam pasaran.
Angin perubahan itu sekali gus mewujudkan kesulitan bagi pemborong memenuhi permintaan kelapa yang saban hari kian meningkat daripada pengguna. Kesannya, harga kelapa di pasaran khususnya di ibu kota melonjak kepada harga tidak munasabah.
"Pada musim perayaan terutamanya Aidilfitri, harga kelapa tua pasti melambung dan sekarang susah bagi pemborong mendapatkan bekalan. Mereka menampung jualan dengan membeli kelapa dari luar negara seperti Indonesia dan Thailand.

"Memandangkan kelapa gugur serentak pada masa tertentu, adakalanya pada musim perayaan kelapa tidak mampu mengeluarkan hasil. Jadi, kelapa-kelapa saya awal-awal lagi sudah ditempah pemborong yang membelinya pada harga 80 sen bagi sebiji kelapa tua.
"Setiap tiga bulan, kira-kira 3,000 biji buah kelapa dapat dibekalkan kepada pemborong. Secara keseluruhan saya mempunyai 120 pokok dan setiap pokok mengeluarkan tiga tandan kelapa," jelas Buani yang memberitahu setiap hektar ladang ditanam dengan 60 pokok sahaja.
Usia sebatang pokok kelapa yang subur boleh melebihi 25 tahun. Kesemua pohon kelapa kepunyaan Buani telah pun berusia 36 tahun. Beliau mula menanam pokok-pokok itu pada tahun 1976. Kesesuaian tanah dan cuaca membantunya untuk terus mengeluarkan hasil.

Kelapa hibrid
Kekurangan bekalan kelapa dalam negara tidak disangkal oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI). Situasi sebenar menyaksikan negara terpaksa mengimport bekalan kelapa dari negara-negara jiran bagi menampung permintaan yang semakin tinggi.
Timbalan Pengarah bahagian Pengurusan Perosak dan Penyakit MARDI, Dr. Azmi Man menyatakan, keluasan ladang kelapa di seluruh Malaysia kini melebihi 99,957 hektar dengan negeri Perak dan Sabah mencatatkan tanaman tertinggi.

Peralihan peladang kepada kelapa sawit berpunca daripada faktor keuntungan yang kurang memberangsangkan yang diperoleh daripada perusahaan kelapa. Dalam setahun, kelapa tradisional negara hanya mencatatkan hasil 4,000 hingga 5,000 biji.

"Kerajaan sedar dilema yang dialami industri kelapa, jadi kami giat menggalakkan peladang mengusahakan kelapa hibrid yang mampu menjana pengeluaran dan pendapatan lebih tinggi.
"Kelapa matag dan mawa antara kelapa hibrid yang semakin popular. Kita mengeluarkan benih-benih baka baharu ini dan gantikan pokok kelapa tradisional dengan kelapa hibrid.
"Dalam setahun, kelapa hibrid berupaya menyumbangkan keluaran sebanyak 20,000 hingga 25,000 biji kelapa kepada industri kelapa negara," jelasnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Tambah Azmi, kerajaan menerusi Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK - 10) telah pun merangka pelan bagi meningkatkan kos pengeluaran kelapa hibrid.
Walaupun perkembangan kelapa hibrid dilihat menggalakkan, tiada jangka masa ditetapkan bagi memastikan kelangsungan bekalan yang cukup untuk penduduk negara tanpa perlu bantuan kelapa import.


Terima kasih kerana membaca Kelapa hibrid jana lebih hasil. Jika berguna, tolong kongsikan di media sosial.

« Previous
« Prev Post
Next »
Next Post »

Tips Berkaitan



0 Komen:

Catat Ulasan