Home » » Lumpur ajaib di Kampung Meritam

Lumpur ajaib di Kampung Meritam

PERMUKAAN tanahnya sentiasa lecak tidak mengira musim, sama ada tengkujuh mahupun kemarau. Lebih luar biasa, ia boleh membentuk busut secara perlahan-lahan sebelum meletus dan mengeluarkan bunyi seakan-akan cecair likat yang sedang membuak-buak.
Kejadian sama berulang selang beberapa minit kemudian. Setelah beberapa hari, ia akhirnya menghasilkan kawah besar dipenuhi lumpur kehitaman yang lembik dan hangat.
Fenomena menakjubkan itu menyebabkan sebuah kawasan lapang di pinggir Kampung Meritam, Limbang, Sarawak yang dulunya lengang bertukar meriah dengan kehadiran orang ramai.
 
Ketua Kampung Meritam, Mahmud Gampal memberitahu, sifatnya yang sering meletus dan menghasilkan bunyi pelik menyebabkan penduduk tempatan menggelar lumpur ajaib berkenaan sebagai 'lumpur bebuak'.
"Bukan satu, malah ratusan kawah seumpamanya muncul di kawasan berkenaan.
"Saiznya pula berbeza-beza. Ada yang hanya sebesar penumbuk. Ada juga bersaiz cukup besar sehingga mencecah dua meter lebar," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
 
Apabila semakin ramai keluarga berpindah di kawasan berhampiran lumpur bebuak, populariti lumpur itu meningkat lebih-lebih lagi apabila ada yang mendakwa ia mampu menyembuhkan pelbagai penyakit kulit.
"Penduduk memberitahu penyakit gatal-gatal dan kudis berkurangan yang dihidapi beransur pulih apabila disapu dengan lumpur bebuak, malah ada juga yang mendakwa penyakit asma mereka sembuh selepas minum air yang ditapis daripada lumpur itu.
"Khabar tersebut tersebar dengan cepat menyebabkan orang ramai termasuk pelancong Brunei dan Sabah berpusu-pusu datang semata-mata mahu mandi lumpur dan mengubati penyakit masing-masing," ujar Mahmud.
 
Populariti lumpur bebuak menyebabkan Majlis Daerah Limbang (MDL) memutuskan untuk membina beberapa kemudahan asas seperti tandas, bilik mandi awam serta jambatan kayu untuk digunakan oleh pengunjung.
Malah kawasan itu juga diiktiraf sebagai antara destinasi pelancongan terkemuka di Limbang oleh Kerajaan Negeri Sarawak.
Berpeluang merasai sendiri berendam di dalam kawah lumpur bebuak bersama beberapa pengunjung lain, penulis mengakui ia merupakan pengalaman menyeronokkan dan amat berbaloi untuk dicuba.
Abaikan seketika rupa lumpur yang pekat likat dengan bau yang kurang menyenangkan. Sebaik sahaja anda 'berkubang' di dalam kawahnya, perasaan geli hilang serta-merta.
 
Malah, ada yang tidak mahu keluar dari kawah itu yang boleh diibaratkan seperti rendaman terapi untuk menyegarkan badan serta minda.
Apa yang menakjubkan, kawah yang mampu memuatkan empat atau lima orang lelaki dewasa dalam satu-satu masa itu sebenarnya tidak berdasar.
Bagaimanapun usah risau kerana sifatnya seakan-akan laut mati. Apa sahaja objek yang terjatuh ke dalam kawah berkenaan akan timbul serta-merta termasuk penulis yang mempunyai berat badan mencecah 70 kilogram!
Ditanya sejak bila lumpur bebuak terhasil, Mahmud memberitahu tiada sesiapa tahu asal-usul kejadian tersebut yang mempunyai persamaan dengan tanah lumpur di kawasan kaki gunung berapi.
"Namun yang peliknya, Limbang bukanlah k
awasan yang mempunyai gunung berapi
"Mengikut cerita yang saya dengar daripada orang lama, ia memang ada di situ sebelum Limbang diteroka, iaitu lebih 100 tahun lalu," katanya.
Bercerita lanjut, Mahmud berkata, puluhan tahun dulu iaitu sewaktu beliau masih muda, pelbagai haiwan seperti kerbau, burung dan rusa gemar menjilat lumpur bebuak yang dikatakan mempunyai rasa masin.
"Sewaktu menjilat lumpur itu, haiwan tersebut menjadi leka tanpa menyedari kehadiran manusia yang berada berdekatan dengannya. Jadi orang kampung mengambil kesempatan itu untuk menangkap haiwan berkenaan menggunakan jerat.
"Sekarang sudah jarang haiwan liar singgah di sini. Mungkin mereka takutkan manusia," katanya.
Sementara itu, salah seorang pengunjung, Dayangku Salmah Pengiran Tajuddin, 42, berkata, kewujudan lumpur bebuak yang dipercayai menjadi penawar kepada penyakit kulit menjadi tarikan utama dia dan keluarganya berkunjung ke Limbang.
 
Surirumah dari Brunei itu berkata, apabila melumurkan lumpur tersebut pada kudis salah seorang anaknya, penyakit kulit itu kering dan sembuh dalam masa tiga hari.
"Jadi kami sekeluarga kerap datang ke sini untuk mandi lumpur. Kami juga menyimpannya di dalam botol untuk dibawa pulang ke rumah sebagai bekalan atau untuk diberi kepada saudara-mara," katanya.
Seorang pelajar, Shianizz Pulang, 17, pula berkata, dia dan rakan-rakan sering mengunjungi kawasan itu semata-mata ingin berendam sambil bermain lumpur.
"Berendam di dalam kawah amat menyeronokkan kerana lumpurnya suam-suam kuku. Kalau bosan berendam, kami bermain gelongsor menggunakan lumpur yang meleleh di sekitar kawah," katanya.


Terima kasih kerana membaca Lumpur ajaib di Kampung Meritam. Jika berguna, tolong kongsikan di media sosial.

« Previous
« Prev Post
Next »
Next Post »

Tips Berkaitan



0 Komen:

Catat Ulasan