Home » » Mudah tersasar tanpa 'antibodi' Islam

Mudah tersasar tanpa 'antibodi' Islam

Pascamodenisme bawa pengaruh anti-Tuhan patut ditangani elak ummah sesat
Umat Islam sedang melalui fasa agak kritikal iaitu mengalami perpecahan berterusan dan berdepan serangan terancang tamadun Barat untuk meruntuhkan terus perpaduan ummah.
Dalam cabaran globalisasi yang semakin hebat, umat Islam kini umpama sekumpulan biri-biri yang dikerumuni, diacah dan dikejar sekawan serigala yang menunggu masa untuk membaham.

Cukup wadah ahli Sunnah Waljamaah untuk umat Islam pegang dan ia akan dapat meningkatkan perpaduan serta menyatukan kita”. - Zakaria Stapa, Pensyarah di Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia
Lihatlah berapa banyak negara Islam khasnya di Asia Barat yang musnah akibat agenda Barat menerusi tindakan serangan fizikal dan pemikiran?

Strategi Barat pecah-belah umat Islam

Strategi dan pendekatan diguna pakai Barat ialah dengan mewujudkan dan menyebarluaskan perselisihan dalaman dunia Islam serta menjadikan umat Islam berpuak-puak hanya kerana perbezaan idea dan pemikiran.

Segala perancangan ini adalah muslihat Barat bagi menyekat Islam berkembang selain melumpuhkan potensi ummah untuk maju bagi memastikan dominasi mereka dalam bidang ekonomi, politik dan sosial berkekalan.
Justeru, bagi menangani indoktrinasi Barat terhadap saki-baki dunia Islam yang masih mampu berdiri dengan kekuatan sedikit seperti negara di rantau Asia Tenggara, umat Islam perlu mengelak daripada terperangkap.

Pensyarah di Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Zakaria Stapa, berkata umat Islam perlu bersatu di bawah satu kesatuan sebenar iaitu ahli Sunnah Waljamaah, menilai fahaman pascamodenisme yang mencabar kelangsungan mazhab ahli Sunnah dan menganalisis ciri pascamodenisme yang berpotensi meruntuhkan benteng serta sendi ahli Sunnah Waljamaah.

Beliau mengingatkan, kefahaman dan kepatuhan ummah terhadap mazhab ini boleh menjadi senjata ampuh bagi memerangi pelbagai anasir yang cuba menghancurkan kelangsungan serta jati diri ummah.

Zakaria menjelaskan, umat Islam perlu sedar pascamodenisme sedang bergerak aktif menyelinap masuk ke dalam segenap bidang kehidupan dan menguasai denyut nadi perjalanan kehidupan manusia kontemporari yang mana media, politik, budaya dan agama adalah saluran utama penyebarannya.

Ia bermakna, semua set nilai dan gaya hidup yang mendefinisikan pascamodenisme menjadi pegangan dan penghayatan manusia semasa, khasnya di Barat.

Sebar fahaman sekularisme

Namun, dalam konteks pascamodenisme, Barat menggunakan fahaman sekularisme yang membuat serangan hebat ke atas semua bentuk keyakinan yang mengatakan terdapat suatu kebenaran mutlak, sama ada kebenaran itu diasaskan wahyu Ilahi atau akal manusia.

“Perlu dijelaskan, oleh kerana fahaman dan pemikiran pascamodenisme ini adalah lanjutan atau fasa baru fahaman sekularisme Barat, maka ia akan bersifat anti-agama dan anti-Tuhan.

Fahaman sekularisme tajaan Barat moden sudah berjaya mensekularisasikan seluruh dunia termasuk dunia Islam. Proses sekularisasi ini tidak lain hanya proses pembebasan manusia daripada kongkongan agama dan kawalan metafizik,” katanya.

Pelbagai bentuk salah laku akhlak yang membimbangkan di Malaysia pada hari ini seperti penagihan dan pengedaran dadah, pelacuran, perzinaan, pembuangan dan pembunuhan bayi, gejala lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT), rogol, pecah amanah, rasuah, bunuh dan pelbagai jenayah adalah gambaran proses sekularisasi yang melanda umat Islam.

Zakaria berkata, kumpulan Muslim yang sudah tersasar dan kehilangan ‘antibodi’ keislaman ini akan mudah menjadi mangsa atau alat kepada fahaman pascamodenisme dalam proses penyebarannya yang bertujuan melumpuhkan sendi akidah dan ajaran Islam.

“Fahaman sekularisme ini turut merangkumi fahaman Islam liberal yang mendukung pluralisme agama yang berpendirian semua agama adalah sama dan benar yang juga semakin berkembang di tengah kehidupan masyarakat Islam di Malaysia,” katanya.

Pegangan Sunnah Waljamaah diperkukuh

Justeru, bagi memastikan umat Islam berupaya menghadapi cabaran pascamodenisme, sekularisme dan globalisasi, pegangan terhadap ahli Sunnah Waljamaah yang sedia wujud sejak berzaman di rantau ini perlu diperkukuhkan.

“Tidak perlu kepada akidah lain untuk dipegang, cukup wadah ahli Sunnah Waljamaah untuk umat Islam pegang dan ia akan dapat meningkatkan perpaduan serta menyatukan kita, sekali gus menjadi benteng untuk mengharungi segala cabaran masa kini,” katanya.


Terima kasih kerana membaca Mudah tersasar tanpa 'antibodi' Islam. Jika berguna, tolong kongsikan di media sosial.

« Previous
« Prev Post
Next »
Next Post »

Tips Berkaitan



0 Komen:

Catat Ulasan