Home » » Naza sasar jual 350 unit Harley-Davidson tahun ini

Naza sasar jual 350 unit Harley-Davidson tahun ini

BUKIT MERTAJAM - Naza Prestige Bikes Sdn Bhd, pengedar rasmi motosikal Harley-Davidson di Malaysia mensasarkan jualan sebanyak 350 unit motosikal berkenaan pada tahun ini.
   
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Naza Datuk SM Zulkifli SM Amin berkata, sasaran jualan itu adalah meliputi jualan di seluruh Malaysia.
   
"Pada tahun depan, kita juga mensasarkan kenaikan jualan sebanyak 20 peratus daripada jumlah sasaran jualan tahun ini. Bagaimanapun, ia bergantung kepada jumlah stok yang terdapat di Harley-Davidson.
   
"Hal ini kerana kadang-kadang kita juga berdepan dengan masalah bekalan motosikal," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian bilik pameran yang kedua Harley-Davidson di Malaysia.
   
Majlis perasmian itu telah disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas.
   
Bagi bilik pameran yang  berkeluasan 8,000 kaki persegi itu, Naza Prestige Bikes Sdn Bhd telah membelanjakan sebanyak RM2 juta.
   
SM Zulkifli berkata bilik pameran yang terbesar di semenanjung  itu turut menyediakan kemudahan bengkel membaiki motosikal, kedai aksesori dan menjual motosikal.
   
"Setakat ini, kami telah mempunyai tiga pusat jualan dan dua bilik  pameran. Kami memilih Pulau Pinang untuk membuka bilik pameran yang kedua ini bagi memudahkan penggemar Harley-Davidson di wilayah utara membeli aksesori atau cenderahati Harley-Davidson," katanya.
   
Bilik pameran yang terletak di Autocity Juru itu dibuka setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 9 malam, manakala waktu operasi bagi perkhidmatan bengkel membaiki motosikal pula adalah pada pukul 10 pagi hingga 6 petang.
   
Sempena dengan pembukaan bilik pameran itu juga, sekumpulan 150 penunggang motosikal berkuasa besar Harley-Davidson akan mengadakan kunjungan ke empat buah rumah kebajikan di Pulau Pinang bagi menyampaikan sumbangan sebanyakmRM5,000.
   
Empat buah rumah kebajikan itu ialah Rumah Seri Cahaya, Rumah  Amal Cheshire Pulau Pinang, Rumah Permata Kasih dan Pusat Pemulihan Dalam  Komuniti Kepala Batas. - Bernama


Terima kasih kerana membaca Naza sasar jual 350 unit Harley-Davidson tahun ini. Jika berguna, tolong kongsikan di media sosial.

« Previous
« Prev Post
Next »
Next Post »

Tips Berkaitan



0 Komen:

Catat Ulasan