Home » » Pemuda maut disepit mesin

Pemuda maut disepit mesin

KUALA LUMPUR – Rakan-rakan Mohd. Hanafi Abdullah sering tidak kering gusi setiap kali juruteknik itu bergurau dengan menyelitkan lawak yang menggelikan hati.
Mohd. Hanafi, 23, sudah dianggap lebih daripada seorang sahabat oleh rakan sekerja kerana tingkah lakunya yang disenangi ramai.
Bagaimanapun, semua itu hanya tinggal kenangan apabila anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu meninggal dunia selepas badannya tersepit di antara mesin pengangkat struktur bongkah yang sedang bergerak dan landasan Transit Aliran Ringan (LRT) yang dalam pembinaan berhampiran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah di Jalan Klang Lama di sini semalam.
Mangsa merupakan pekerja sub kontraktor.
 
Kejadian yang tidak diduga itu berlaku pada pukul 11.30 pagi ketika mangsa bersama empat lagi rakan setugas sedang melakukan kerja-kerja penyambungan bongkah landasan.
Rakan sekerja mangsa, Mohd. Ammar Abdullah Sidek, 21, memberitahu, sebelum kejadian, mangsa ditugaskan untuk mengawal wayar pada mesin tersebut bagi memastikannya tidak berpintal manakala dia dan dua lagi rakan sedang melakukan kerja masing-masing berdekatan Mohd. Hanafi.
Katanya, tiba-tiba dia terdengar mangsa menjerit sebelum bergegas mematikan suis untuk membantu mengeluarkan mangsa yang dalam keadaan lemah akibat tersepit.
"Sebaik mesin itu dialihkan, mangsa terus jatuh terduduk atas landasan.
"Sebaik didekati, kami lihat rusuk kanannya terdapat kesan lebam teruk. Ketika itu dia masih boleh bercakap tetapi tidak berapa jelas lalu kami memintanya supaya bertenang.
 
"Bagaimanapun, dia kemudian disahkan meninggal dunia ketika dibawa ke sebuah klinik berhampiran," ceritanya ketika ditemui di sini.
Seorang lagi rakan mangsa, Ezil Maizan Abdullah, 38, berkata, mangsa bagaikan tahu ajalnya bakal tiba apabila dia menjadi pendiam dan langsung tidak bergurau dengan sesiapa ketika memulakan tugas sejak awal pagi.
"Kami perasan dengan perubahan sikapnya tetapi tidak mengendahkannya sehinggalah kejadian itu berlaku. Sebelum ini, dia memang suka bergurau senda," katanya.
 
Tambahnya, dia dan rakan-rakan menganggap Mohd. Hanafi lebih daripada seorang sahabat dan kehilangannya pasti dirasai.
Difahamkan, kerja-kerja pembinaan landasan tersebut dihentikan buat sementara waktu sehingga siasatan oleh Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerja selesai.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, mangsa hanya dapat diturunkan dari landasan setinggi 15 meter itu 30 minit kemudian.
"Mangsa yang pengsan kemudian dikejarkan ke sebuah klinik berhampiran sebelum dia disahkan meninggal dunia pada pukul 1.30 petang," katanya.
Projek penyambungan landasan LRT itu adalah salah satu projek dalam pembangunan LRT bernilai RM4.5 bilion.


Terima kasih kerana membaca Pemuda maut disepit mesin. Jika berguna, tolong kongsikan di media sosial.

« Previous
« Prev Post
Next »
Next Post »

Tips Berkaitan



0 Komen:

Catat Ulasan