Kota Bharu: Kelantan mengakhiri kempen Piala AFC selepas sekadar seri 1-1 dalam pertemuan suku akhir kedua menentang juara Iraq, Al Arbil di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.

Keputusan itu menyaksikan The Red Warriors tewas 2-6 secara agregat selepas dibelasah 1-5 dalam perlawanan pertama di laman lawan minggu lalu.
Harapan peminat setia Kelantan menyaksikan pasukan kesayangan mereka bangkit tidak kesampaian apabila Al Arbil tetap masih bernafsu besar mencari gol menerusi rembatan Ajmed Radhi seawal minit pertama tetapi sedikit tersasar.

Gol pelawat hadir pada minit ke-37 menerusi Sula Matovu yang bijak melepasi perangkap ofsaid sebelum melepaskan rembatan kencang menewaskan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.

Kelantan yang beraksi tanpa beberapa pemain tonggak pada pertemuan pertama melancarkan serangan bertali arus dan meraih peluang terbaik pada minit ke-22 apabila hantaran lintang Norshahrul Idlan Talaha berjaya ditampan kemas Mohd Afiq Azmi namun ia berakhir di dakapan penjaga gol Al Arbil, Jalal Hassan Hachim sekali gus mengecewakan lebih 5,000 peminat The Red Warriors.

Kemasukan penyerang import, Mohd Ghaddar pada babak kedua sedikit menajamkan serangan tuan rumah. Pemain dari Lubnan itu menebus kekecewaan dengan menyumbat gol penyamaan pada minit akhir untuk menyelamatkan Kelantan daripada tewas di laman sendiri.