Home » » Sentuhan tudung ringkas, memikat

Sentuhan tudung ringkas, memikat

MENCIPTA sesuatu produk semata-mata kerana memenuhi kehendak pasaran akan menyebabkan kita tidak dekat dengan produk itu.
Namun, apabila sesuatu produk yang dibangunkan itu diuji sebaiknya pada diri sendiri terlebih dulu, ia bukan hanya menjadi kebanggaan penciptanya, malah keyakinan terhadap produk tidak berbelah-bahagi.
Walaupun bergelar pengeluar produk, harus diingat kita juga pernah menjadi pelanggan. Sebagai pelanggan, kita mahu sesuatu yang cantik, selesa dan terkini. Pada masa sama, kita juga mahukan harga yang berpatutan tidak kira latar belakang kewangan pelanggan.

Ada orang yang tidak kisah berbelanja ratusan ringgit untuk sehelai tudung, tetapi ramai yang tidak mahu membazir dan meletakkan had untuk sehelai tudung yang menutupi kepala itu.

Itulah antara yang dipentingkan dua sahabat ini dalam membangunkan produk tudung mereka. Selain warna, corak dan pilihan harga berpatutan, ia mesti selesa dan mudah dipakai.

Mereka bermula bersama-sama, daripada susah payah menangani masalah membangunkan produk dan pelbagai masalah lain. Mereka mungkin nampak biasa saja bagi penulis yang sudah menemui ramai usahawan lain, tetapi apabila melihat produk tudung mereka, ternyata Koleksi Maira mempunyai sentuhan yang agak berbeza.

Ia tudung yang mengekalkan ciri ringkas, warna memikat, kelas dan membantu penampilan walaupun dipadankan dengan pakaian sederhana, demikian ditegaskan Maya Che Ros, 41.

Maya bersama rakan kongsinya, Noraini A Rani, 43, sentiasa memikirkan yang terbaik demi perusahaan mereka.

“Kami sama-sama mencari kain yang sesuai dan terbaik. Tidak setakat itu, kami tidak menyerahkan rekaan dan pembuatan tudung kepada orang lain atau pekerja kami sebaliknya semuanya kami lakukan sendiri.

“Pemakaian tudung sudah menjadi sebahagian daripada rutin hidup kebanyakan wanita. Jadi saya dan Noraini sendiri sentiasa mahukan keselesaan dan pada masa sama mahukan tudung itu cantik ketika membeli tudung. Jadi, itulah yang kami pastikan ketika membangunkan produk,” kata Maya.

Memastikan kualiti terjaga sangat dititikberatkan dua sahabat itu yang menamakan koleksi mereka sebagai Maira di bawah syarikat mereka, Maira Trading Resources.

“Kami mahu pelanggan berasa eksklusif setiap kali membeli dan memakai tudung jenama Maira. Sebab itu setiap satu tudung bercorak kami hanya ada 40 helai saja.

“Istimewanya produk Maira ialah sengkuap (awning) yang kami gunakan. Ia diimport dari luar negara. Kami menggunakan fabrik jacquard dan sutera. Ia membuatkan pemakai berasa selesa dan terletak kemas di kepala,” katanya.

Kain tudung pula dihasilkan daripada fabrik lycra, sifon dan kapas.

Bagi mereka, penggunaan kain mestilah memenuhi kehendak mereka daripada segi keselesaan dan pemakaian yang praktikal.

“Ketika mahu menubuhkan syarikat ini, kami sendiri yang bertindak sebagai pereka tudung daripada asas rekaan, memotong kain serta pembentukan tudung.
Kini setelah beberapa tahun beroperasi, barulah kami memberi tanggungjawab memotong kain kepada pekerja yang dilatih khas di kilang.

“Sangat penting kita sendiri mengenali produk daripada asasnya. Dengan ini, orang bawahan tahu kewibaan kita. Kami sendiri membuat sistem di kilang berdasarkan pengalaman dan pengetahuan kami,” kata Maya sambil memberitahu Maira Trading mempunya 20 pekerja untuk kilang dan butiknya.

Dengan nama yang semakin kukuh, tidak bermakna Maya dan Noraini melupakan sejarah kepayahan mereka di awal penubuhan dan pembangunan produk Maira.

Lima tahun lalu apabila Maya dan Noraini menyertai dunia perniagaan tudung, pasaran ini sangat luas, begitu juga pengusaha yang amat ramai.

“Bukan senang untuk kekal dalam perniagaan ini. Ia produk yang sangat luas penggunaannya dan setiap fesyen pula bermusim. Kami sukar mendapatkan stok kain yang diimport kerana pasaran kain juga bermusim.

“Selain itu kena sentiasa memikirkan fesyen dan memperbaharuinya. Namun, kami masih kekal dengan cara kami iaitu menjanjikan kualiti, rekaan terkini dan produk eksklusif kepada pelanggan,” katanya.

Antara gaya tudung Maira termasuk corak biasa, berlapis, Syria serta terkini, sengkuap lembut mula popular, begitu juga tudung yang direka khas untuk kegunaan umrah.

Produk Maira tidak dijual di pasaran terbuka sebaliknya melalui stokis secara borong. Stokis pula mengedarkannya kepada wakil penjual. Sekarang stokis Maira berada di seluruh negara termasuk Brunei.

Pesan Maya, wanita 35 tahun ke atas mesti mengutamakan gaya tudung yang ringkas dalam pemilihan tudung mereka.

“Mereka mesti tahu menyesuaikan diri daripada segi fesyen dan corak ketika bertudung. Jangan terperangkap dengan memilih fesyen yang dicipta untuk remaja.
Pada umur sebegitu, pilih tudung yang ringkas dan sederhana coraknya. Tudung bercorak pula jangan dipadankan dengan pakaian bercorak, sebaliknya hanya dengan pakaian polos,” katanya.


Terima kasih kerana membaca Sentuhan tudung ringkas, memikat. Jika berguna, tolong kongsikan di media sosial.

« Previous
« Prev Post
Next »
Next Post »

Tips Berkaitan



0 Komen:

Catat Ulasan