Home » » Sharbinee bersih - SPRM

Sharbinee bersih - SPRM

KUALA TERENGGANU - Tanda tanya mengenai nasib Sharbinee Allawee Ramli yang dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalani ujian poligraf akhirnya terungkai apabila penjaga gol itu dibebaskan daripada tuduhan menjual perlawanan.
Pengarah SPRM negeri, Md. Yusoff Md. Zin ketika mengesahkan perkara itu berkata, hasil siasatan mendapati tiada sebarang bukti atau dokumen yang menunjukkan wujud unsur rasuah dalam perlawanan Piala Malaysia, baru-baru ini.
 
Beliau memberitahu, sepanjang siasatan dijalankan, SPRM telah memanggil beberapa orang saksi untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.
Ujian poligraf juga menunjukkan tiada tindak balas signifikan (no significant reactions) yang boleh mengaitkan perlakuan rasuah seperti yang didakwa.
Ketika rakaman ujian poligraf dijalankan, keputusan yang diperoleh mendapati beliau (Mohd. Sharbinee) bercakap benar terhadap soalan-soalan yang dikemukakan," katanya semalam.
Sharbinee dituduh menjual perlawanan ketika beraksi dalam perlawanan Terengganu menentang Kedah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini, 1 September lalu.
 
Aksinya menimbulkan keraguan jurulatih Peter Butler apabila bola terlepas mudah daripada jangkauan dan menerobos gawang ketika Terengganu mengharapkan kemenangan untuk melangkah ke suku akhir Piala Malaysia.
Sharbinee mengakui kesilapannya namun menolak tuduhan ia mempunyai kaitan menjual permainan.
Md. Yusoff berkata, kes tersebut disiasat seperti mana diperuntukkan dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan siasatan yang dijalankan adalah bebas, telus dan profesional.
 
Sharbinee mula dipanggil SPRM negeri pada 4 September lalu dan sekali lagi pada keesokannya untuk siasatan termasuk dikehendaki menjalani ujian poligraf.
Selain Sharbinee, tujuh lagi individu termasuk dua lagi pemain Terengganu turut dipanggil SPRM pada 5 September lalu bagi membantu siasatan.
Bagaimanapun, hanya penjaga gol Terengganu itu yang menjalani ujian poligraf.
Siasatan itu dijalankan berikutan kenyataan Sharbinee pada 3 September lalu dia bersedia disiasat SPRM setelah dikatakan menjual perlawanan berdasarkan kegagalannya menghalang jaringan Kedah.
Pada perlawanan itu, Mohd. Sharbinee turut menjadi sasaran kemarahan jurulatih Peter Butler, menyebabkan dia dikeluarkan sebelum tercetus pertelingkahan di luar padang.


Terima kasih kerana membaca Sharbinee bersih - SPRM. Jika berguna, tolong kongsikan di media sosial.

« Previous
« Prev Post
Next »
Next Post »

Tips Berkaitan



0 Komen:

Catat Ulasan