Home » » Terengganu hilang 10 pemain

Terengganu hilang 10 pemain

KUALA TERENGGANU - Terengganu akan berwajah baru musim depan setelah 10 pemainnya memutuskan untuk beralih haluan, sekali gus memberi ruang untuk memulihkan skuad itu dihimpit kontroversi.
Antara yang menyatakan hasrat untuk berhijrah musim depan termasuk penjaga gol, Sharbinee Allawee Ramli dan Muslim Ahmad, dua pemain yang sebelum ini terlibat dalam kontroversi dengan jurulatih, Peter Butler.
Lain-lain pemain yang menyatakan hasrat yang sama termasuk dua pemain kelahiran Sarawak, Joseph Kallang Tie dan Reeshafiq Alwi.
Abdul Hadi Yahya, Shukor Jusoh, Hariri Mohd. Shafie dan Mohd. Ailim Fahmi Kamaruddin juga mahu berhijrah.
Keputusan itu dibuat berdasarkan persetujuan bersama antara pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dengan para pemain berkenaan yang meminta agar mereka 'dilepaskan' daripada skuad itu.
 
Presiden PBSNT, Datuk Che Mat Jusoh berkata, dalam masa yang sama dua pemain import, Francis Forkey Doe dan Erison Da Silva juga tidak akan disenaraikan dalam pasukan setelah kontrak mereka tidak disambung.
"Dalam mesyuarat persatuan (PBSNT) tempoh hari, kami memutuskan 15 pemain dikekalkan, manakala lapan pemain akan dilepaskan berdasarkan persetujuan bersama dan dua pemain import tidak akan disambung kontrak," katanya.
Beliau menyatakan demikian selepas sesi perjumpaan dengan semua pemain skuad Penyu dan pasukan Piala Presiden di pejabat PBSNT di sini semalam.
Pada sidang akhbar itu, Che Mat turut mengumumkan pelantikan Marzuki Sulong sebagai pengurus pasukan Terengganu yang baru bagi mengambil alih tugas beliau.
Manakala Zulkifli Ali dan Ahmad Awang masing-masing dilantik sebagai penolong pengurus 1 dan penolong pengurus 2.
Seramai 15 pemain yang dikekalkan dalam skuad itu musim depan antaranya Abdul Manaf Mamat, Ismail Faruqi Asha'ari, Ahmad Nordin Alias, Mohd. Asha'ari Shamsudin, Faizal Mohd., Maslizam Mohamad dan ketua pasukan, Marzuki Yusof.
 
Mengulas lanjut mengenai beberapa pemain tonggak yang akan meninggalkan Terengganu, Che Mat berkata, pihaknya mengambil kira permintaan mereka agar 'dilepaskan' terutama melibatkan Mohd. Sharbinee dan Muslim.
"Kita sudah berbincang, umpamanya mengenai Sharbinee dengan situasi yang dialaminya serta keadaan persekitaran. Jadi eloklah dia keluar cari angin baru di tempat baru.
"Kami simpati, begitu juga dengan Muslim, dia minta dikeluarkan dari pasukan. Tapi semua (lima) pemain utama ini, apabila keadaan pulih dan mereka berhasrat kembali, kami sedia terima mereka," ujarnya.
 
Che Mat juga tidak menafikan pihaknya sudah mula menghubungi pihak tertentu serta beberapa pemain dari pasukan negeri lain bagi mengisi kekosongan itu termasuk dua pemain import.
Ditanya sama ada Terengganu akan memberi peluang kepada tiga pemain asal Terengganu yang sedang beraksi dengan pasukan lain seperti Hairuddin Omar, Norfarhan Mohamad and Norshahrul Idlan Talaha, beliau berkata, pintu untuk mereka sentiasa terbuka.


Terima kasih kerana membaca Terengganu hilang 10 pemain. Jika berguna, tolong kongsikan di media sosial.

« Previous
« Prev Post
Next »
Next Post »

Tips Berkaitan



0 Komen:

Catat Ulasan