Home » » Wajib Pertahan Syiar Islam, Nabi Muhammad Daripada Dihina – Harussani

Wajib Pertahan Syiar Islam, Nabi Muhammad Daripada Dihina – Harussani

IPOH, 19 Sept  - Nabi Muhammad S.A.W merupakan satu daripada syiar Islam selain amalan ibadah, yang wajib dijaga dan dipertahankan oleh umat Islam, kata Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria.
Sehubungan itu, apabila agama Islam dan Rasulullah dihina dan dicerca, umat Islam wajib bangun menentang penghinaan itu serta tidak boleh bersekongkol dengan pihak berkenaan.
“Oleh kerana sekarang ini umat Islam agak lemah, maka orang senang mempermainkan kita dari semasa ke semasa, mereka membuat penghinaan terhadap Islam, yang mampu kita buat hanya menyatakan rasa marah dan nampaknya seluruh dunia Islam bangun kerana mempertahankan, ini untuk menunjukkan ia satu perkara yang berat bagi kita,” katanya selepas menjadi panel Forum Pendermaan Organ di Kompleks Rawatan Harian, Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini, hari ini.
Beliau mengulas tindakan Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham yang mempersoal tindakan umat Islam membantah dan menyuarakan kemarahan berhubung filem ‘Innocence of Muslims’.
Ngeh menerusi laman twitternya yang berbunyi “Khairy wants muslim protest against Sam Bacile. For Islam or for his political gains? Are muslims wasting too much time and energy  on this?. (Ketua Pemuda UMNO) Khairy (Jamaluddin) mahu umat Islam mengadakan bantahan terhadap Sam Bacile. Untuk Islam atau untuk kepentingan politik beliau? Adakah umat Islam menghabiskan terlalu banyak masa dan tenaga ke atas perkara ini?)
Filem ‘Innocence of Muslims’ yang menghina Nabi Muhammad S.A.W dan agama Islam, arahan Sam Bacile, 52, dari California yang disiarkan dalam laman YouTube, mencetuskan kemarahan orang Islam di seluruh dunia.
Harussani berkata berkata umat Islam pula diharamkan mencaci agama atau ajaran lain yang dianuti seseorang itu sebaliknya perlu menghormati pegangan itu walaupun umat Islam berpendapat agama lain tidak benar dan diterima oleh Tuhan seperti mana yang disebut dalam Al-Quran.
Beliau berpendapat pihak kerajaan juga perlu menyuarakan bantahan terhadap kerajaan yang berkenaan bagi pihak rakyat kerana kerajaan juga perlu mengambil berat perkara itu.
Katanya tindakan umat Islam menyuarakan bantahan, kecewa dan marah terhadap perkara itu tidak boleh dianggap sebagai membuang masa kerana umat Islam juga perlu menunjukkan rasa marah dan tidak mahu dianggap bodoh kerana berdiam diri.
“Apa yang dipersoalkan Yang Berhormat (Ngeh) dengan mengatakan buang masa, maknanya dia tidak peka terhadap perasaan umat Islam kerana dia bukan Islam, jika kena agama dia sendiri, saya ingat lebih daripada itu dia akan ‘mengamuk’ lebih teruk daripada kita,” katanya.
Katanya beliau turut melihat pemimpin parti Pas yang menjadi rakan parti DAP dalam pakatan pembangkang juga berdiam diri kerana seolah-olah wujud satu kebencian terhadap kerajaan pimpinan sedia ada.
“Jadi mereka sudah tidak kisah lagi sebab yang penting bagi mereka adalah untuk menjatuhkan kerajaan dan tidak fikir apa dan akibat yang akan berlaku. Sepatutnya kita umat Islam perlu bersatu walau apapun yang berlaku, kita berbeza pendapat itu masalah lain, berbeza pendapat itu memang perangai manusia jika tidak, tidak akan ada kemajuan,”  katanya.
Beliau berkata oleh itu adalah haram bagi umat Islam mengundi wakil rakyat yang menghina pegangan agama Islam.
“Kita mengundi wakil yang boleh menolong kita, yang boleh membangunkan, memajukan dan menjaga keselamatan negara kita. Jika kita mengundi orang yang merosakkan negara kita, mengadakan permusuhan itu adalah haram kerana kita dedahkan diri kepada kebinasaan,” katanya.


Terima kasih kerana membaca Wajib Pertahan Syiar Islam, Nabi Muhammad Daripada Dihina – Harussani . Jika berguna, tolong kongsikan di media sosial.

« Previous
« Prev Post
Next »
Next Post »

Tips Berkaitan



0 Komen:

Catat Ulasan