Home » » Wanita terus jadi mangsa diskriminasi

Wanita terus jadi mangsa diskriminasi

Mentauhidkan diri kepada Allah SWT adalah rukun Islam yang pertama dan menjadi prasyarat kepada sesiapa ingin mengabdikan diri sebagai hamba sebenar. Justeru, mengaku sebagai hamba, tetapi culas mentaati perintah tuannya, satu kepincangan yang nyata.

Bagi sesiapa yang nekad menjadi Muslim, mereka tiada pilihan, melainkan berseteru dengan larangan Tuhan dan dosa.
Islam adalah agama membawa cahaya menerangi kegelapan. Islam satu-satunya agama yang benar dan membawa kebenaran. Kejahilan yang menjadi ikutan dan cara hidup manusia pada masa lampau berganti dengan muamalah insani yang penuh adab dan hikmah.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya agama yang benar dan diredai di sisi Allah ialah Islam. (Surah Ali-Imran, ayat 19)

Umat Islam di Malaysia beruntung

Umat Islam di Malaysia beruntung kerana Islam diperakui undang-undang dan dijadikan agama Persekutuan, malah cara hidup Islami juga tidak dihalang oleh undang-undang. Sungguhpun begitu, ada segelintir manusia yang sukar meninggalkan kejahatan dan kezaliman.

Malah menjadikan saudara seagama sebagai mangsa keruntuhan jiwa sehingga menjejaskan timbangan amal baik di akhirat kelak. Wanita contohnya, sering menjadi mangsa kezaliman. Kanak-kanak tidak terkecuali. Golongan kurang upaya pula pernah terpinggir akibat kurangnya keprihatinan kepada mereka.
Sesungguhnya Islam tidak pernah membezakan antara manusia melainkan iman mereka yang menjadi taruhan untuk kekal di dalam lindunga-Nya.

Mutakhir ini, jenayah seantero dunia berleluasa ke atas wanita. Dalam peperangan, wanita dirogol dan dibunuh. Wanita selalu menjadi mangsa rompakan. Begitu juga jenayah ragut serta serangan fizikal serta harta benda, wanita sering menjadi mangsa.

Undang-undang manusia tidak berkecuali turut mendiskriminasi wanita. Walaupun hak diberi sama seperti lelaki, tetapi persamaan mendapatkan hak bukan penentu keadilan. Keperluan berbeza dalam mendapat perlindungan tidak memungkinkan lelaki dan wanita mendapat hak.

Sukar dapat kemudahan dan pembelaan

Berbanding Malaysia, di negara maju yang majoriti penduduknya bukan Islam, umat Islam mengalami kesukaran mendapat kemudahan dan pembelaan. Namun, hak mereka sebagai manusia tidak pernah dinafikan oleh undang-undang.

Cuma, kehidupan sebagai Muslim tidak seindah seperti dialami di negara yang mengangkat Islam sebagai agama negara. Seorang teman di luar negara nyaris dilanggar kereta dan dihalau memasuki premis perniagaan kerana berhijab, walaupun undang-undang tidak pernah menyekat.

Firman Allah SWT: Dan mereka orang kafir itu sentiasa memerangi kamu hingga mereka mahu memalingkan kamu dari agama kamu. Kalau mereka sanggup melakukan yang demikian dan sesiapa di antara kamu yang murtad berpaling tadah dari agamanya (agama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya yang baik di dunia dan di akhirat dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya selama-lamanya. (Surah Al-Baqarah, ayat 127)

Memang benar musuh-musuh Allah yang memusuhi umat Islam adalah orang yang sangat rugi seperti firman Allah SWT: Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak daripada orang yang rugi. (Surah Ali-Imran, ayat 85)

Tetapi kita harus mengetahui bahawa menjadi musuh kepada agama Islam dan musuh kepada umat Islam adalah dua perkara berbeza.

Kes mahkamah di United Kingdom menunjukkan agama Islam bukan perkara yang menjadi titik tolak kepada perbalahan antara penganut, tetapi tindak tanduk penganut Islam itu sendiri.

Secara tidak langsung kita dapat fahami bahawa dunia akui tiada salahnya pada agama ini hingga boleh menyebabkan kezaliman antara manusia, tetapi perbuatan umat Islam melanggar moral dan akhlak sebagai manusia itulah yang menyebabkan porak peranda dan menjadi fitnah kepada agama.

Strategi musuh Islam

Perlu disedari bahawa musuh Islam tidak pernah jemu untuk menghapuskan agama Islam dan umatnya dari muka bumi ini. Dengan strategi dan perancangan yang rapi, mereka mendekati umat Islam untuk menjauhkan Muslimin daripada pegangan agama.

Allah SWT berfirman: Orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu wahai Muhammad sehingga engkau menurut agama mereka yang telah terpesong itu. Katakanlah kepada mereka: Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya wahyu yang memberi pengetahuan kepadamu tentang kebenaran, maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah sesuatu pun yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu. (Surah Al-Baqarah, ayat 120)

Setiap individu Muslim yang menjadikan Islam sebagai pegangan dan setiap ajarannya sebagai prinsip hidup pasti tidak akan tergelincir dari landasan. Mereka tidak tertipu dengan tipu daya dalam bentuk wang ringgit mahupun kuasa. Mereka tidak terkilan kehilangan nama dan pangkat, asal saja Islam tidak diganggu gugat.


Terima kasih kerana membaca Wanita terus jadi mangsa diskriminasi. Jika berguna, tolong kongsikan di media sosial.

« Previous
« Prev Post
Next »
Next Post »

Tips Berkaitan



0 Komen:

Catat Ulasan