Home » » Neelofa - Biar masa menentukan

Neelofa - Biar masa menentukan

PROFESIONALISME dan disiplin kerja pelakon juga pengacara muda berbakat besar, Noor Neelofa Mohd Noor atau lebih mesra disapa Lofa tidak perlu dipertikaikan lagi.
Meskipun hakikatnya, nama pemilik wajah jelita ini bagai tidak pernah berenggang dengan soal kontroversi dan pelbagai spekulasi yang menghujani, jelas dan nyata, kerjanya tidak pernah terganggu apatah lagi dipersoalkan.
Jelasnya berulang kali, inilah impian yang disimpan selama ini dan peluang yang dibentangkan depan mata ini bagai bulan jatuh ke riba, lantas tidak sekali ia akan dipersiakan, jauh sekali diambil mudah.

"Saya inginkan segala macam kerja yang sedang saya lakukan sekarang.
 
Alhamdulillah rezeki dan peluang ini bukanlah datang selalu. Justeru mengapa harus saya mengambil mudah ruang terbaik yang diberikan ini. Apa yang perlu saya lakukan adalah menjalankan tanggungjawab dengan sempurna dan memastikan kredibiliti peribadi saya sentiasa baik.
"Bagaimanapun saya belajar banyak perkara sepanjang bergelar anak seni.
Walaupun saya begitu mementingkan kerja dan tugas yang diberi, ada kalanya saya tidak boleh terlalu terikat dengan pendirian dan prinsip diri kerana tidak semua orang boleh menerima dengan baik. Cuma apa yang perlu, saya seimbangkan soal kerja dan reputasi diri agar sesiapa yang berurusan dengan saya faham dengan kualiti kerja yang saya berikan.
 
pix_topright 

"Mungkin kerana disiplin dan hasil kerja yang saya utamakan ini membuatkan peluang itu sentiasa diberikan kepada saya," katanya membuka cerita.

Lofa sempat meluangkan masa bersembang selepas lama tidak ketemu sejak pulang dari cuti Aidilfitri yang lalu. Hanya mencuri masa kurang seminggu berehat ketika itu, gadis putih gebu berusia 23 tahun yang juga bekas juara pertandingan Dewi Remaja 2010 lekas memenuhi jadual kerjanya semula.

Kronologi percaturan langkahnya memang kemas dan mengundang senyum panjang.
Bayangkan, dalam masa kurang setahun, sinarnya tangkas menyinar dan menyuluh laluannya laju ke depan.

Bersandarkan pada filem sulung lakonannya, Azura 2012 tahun lalu, hari ini pelakon kacukan Melayu, Pakistan dan Arab juga kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini sudah kukuh membina empayarnya sendiri.

Namun seperti yang acap kali diingatkan kepadanya, sebesar mana pencapaian yang diraih, sebanyak itu juga kontroversi yang datang hinggap tanpa alasan.

Belum reda lagi kisah perselisihan fahamnya dengan seorang bintang muda lain, nama Lofa terus dikaitkan dengan tersebarnya gambar percutiannya bersama kekasih hati juga pelakon dan penerbit kacak, Hans Isaac di Phuket, Thailand minggu lalu.

Jelasnya tersenyum tanpa memberi riak kurang selesa atau jelak, inilah permainan dunia seni dan apa yang perlu dilakukan, optimis dan telan saja sebaik mungkin.

"Sejak hari pertama lagi saya menjejakkan kaki dalam bidang ini, saya sudah dikaitkan dengan beberapa isu. Namun apabila saya dikaitkan dengan isu merampas kekasih orang, punca perpisahan, pergaduhan sesama pelakon, bising dengan produksi kerana soal masa hingga yang terbaru ini didakwa kononnya bercuti bersama Hans, saya hanya kosong dan tidak punya komen.

"Mungkin saya sudah terlalu lali dengan semua ini. Walaupun baru setahun jagung, namun dugaan dan cabaran yang diberikan begitu besar hingga menguatkan diri saya berdepan segala macam perkara," katanya.

Tambah Lofa, soal bercuti dengan Hans adalah mengarut sama sekali kerana apa yang disebarkan sebelum ini hanya omong kosong tanpa kesahihannya.

"Jujurnya saya bersama beberapa teman mencuri masa dua hari untuk lari berehat di pulau ketika itu. Maklumlah minggu sebelumnya jadual saya terlalu penuh dan membuatkan saya begitu penat. Namun niat asalnya ingin menenangkan fikiran itu rupa-rupanya membuatkan saya lebih pening dan letih menjawab persoalan lain pula.

"Saya rasa tidak perlu untuk diperjelaskan di sini kerana semuanya sudah saya terangkan sebelum ini. Ia hanya satu salah faham dan ada pihak memang suka menggembar-gembur cerita yang belum pasti sahih. Saya tidak langsung terusik cuma rasa begitu penat setiap kali perlu menjawab. Mungkin inilah realitinya, apa saja yang saya lakukan, ada saja pihak yang begitu mengambil berat.

"Bagaimanapun saya bersyukur kerana kerja saya dapat mengimbangkan semula situasi janggal mengenai gosip dan kontroversi. Alhamdulillah rezeki tidak pernah putus dan peminat sentiasa yakin dan percaya dengan apa yang saya lakukan. Setidak-tidaknya segala pencapaian dan hasil kerja itu dapat menyembunyikan sedikit semua kisah 'panas' itu untuk terus mendidih," tambahnya.

Seperkara yang pasti, Lofa seorang yang telus dan tidak pandai menyembunyi perasaan dan pendapatnya.

Apa yang saja yang terlintas, itu yang akan diluahkan. Suaranya lantang menterjemah pandangan dan kenyataannya. Apa yang saja yang ditanya, semuanya tenang dijawab walaupun sesekali terselit juga persoalan peribadi.

Terlanjur menyentuh mengenai cintanya, Lofa bagai sudah menjangka akan diterjah persoalan sama.

"Saya tidak mahu lagi memberi kenyataan mengenai hubungan saya dan Hans kerana ada lebih baiknya pihaknya pula yang bercerita jika ada yang ingin tahu. Selama ini rasanya pihak saya yang banyak memberi kenyataan dan ia tidak manis dan adil jika diukur daripada mata sekeliling. Biarlah kali ini Hans pula yang memberi komen.

"Hans juga baru saja kehilangan ibu tersayang dan saya tidak mahu terus membebankannya lagi. Kami lebih banyak membuka ruang dalam hubungan ini dan biarkan kerja dulu yang diutamakan. Saya begitu sibuk dengan pelbagai tanggungjawab dan komitmen dan Hans pula kini meletak sepenuh fokus pada pementasan Lawak Ke Der? 2 di Istana Budaya.

"Insya-Allah jika ada rezeki dan jodoh, ia tidak ke mana. Saya hanya berharap agar peminat mendoakan saja yang terbaik buat saya," katanya lagi.

Lofa yang masih menuntut dalam jurusan Sarjana Muda Perdagangan Antarabangsa & Pemasaran di Universiti Kolej Sunway ini baru saja tamat penggambaran drama siri Kau Yang Terindah yang baru saja tamat tayangannya di TV3.

Ketika ini, lakonannya sedang hangat ditayangkan dalam filem Hantu Kapcai yang sudah pun mencecah lebih RM2 juta kutipan di panggung.

Selain itu, Lofa yang juga pengacara program bual bicara Nona dan bakal bergelar penyanyi selepas disunting pihak Tune Records kini sedang mempertimbangkan satu lagi tawaran untuk mengendalikan sebuah program hiburan pula tayangan sebuah stesen televisyen swasta.

Januari depan, Lofa akan kembali ke set penggambaran filem Pilot Kafe arahan Osman Ali yang belum lagi ditentukan tarikh tayangannya.


Pelaris tilam empuk

PETANG Khamis lalu, Neelofa sekali lagi mengumumkan percaturannya maju selangkah ke depan selepas dilantik pula menjadi duta pertama produk tilam jenama antarabangsa, King Koil.

Selesa sebagai duta kosmetik Avon, jenama jam U2 dan menjadi wajah rasmi siri jelajah Petronas ke Pantai Timur, Lofa yang pernah membintangi filem S.A.M tayangan Aidilfitri lalu bersyukur dengan peluang yang diberi buatnya ini.

Siapa sangka, dalam pada kontroversi dan gosip tidak henti mengenai dirinya, reputasi dan nama baik pelakon jelita ini tidak terusik sama sekali sebaliknya makin banyak pula pihak yang menaruh kepercayaan kepadanya.

Tilam yang terkenal dengan keselesaan dan kualiti terbaiknya, King Koil mengangkat Neelofa sebagai duta pertamanya untuk tempoh tiga tahun dengan beberapa komitmen termasuk fotografi, kehadiran di acara dan majlis serta rangkaian promosi bagi terus mengukuhkan jenamanya.

Memetik kata Pengurus Besar Pemasaran King Koil, Philip Mak, pemilihan pelakon terkenal ini adalah berdasarkan populariti dan reputasinya yang begitu baik dan kukuh.

"Lihat saja bagaimana Neelofa mengaturkan perjalanannya menjadi seorang artis.
Dalam masa setahun saja, dia sudah berada di gelanggangnya sendiri dan begitu besar jenamanya dalam industri tempatan. Saya kagum melihat bagaimana dia membina nama dengan cara kerja dan disiplinnya sebagai seorang bintang muda.

"Justeru saya yakin yang Neelofa mampu membawa jenama King Koil ke satu fasa yang lebih baik selain memimpin sama kualiti produk ini ke tahap yang jauh lebih dikenali," katanya.

Lofa turut mengakui yang dia sudah lama menjadi pengguna kepada produk tilam ini selain mengakui jenama dan kualiti King Koil yang baik membuatkan dia berani menerima tawaran menjadi duta.

Selaku duta dan wajah rasmi, Lofa turut berkongsi mengenai pengalamannya melawat ke kilang King Koil di Klang bagi melihat sendiri proses pembuatan produk jenama itu.

Selain itu mengikut jadual komitmennya bersama King Koil, Lofa juga bakal muncul dalam satu acara bersama peminat serta pengguna King Koil di Viva Furniture Mall pada 2 hingga 4 November ini di mana pelbagai aktiviti dan hadiah menarik bakal menanti mereka yang hadir.


Terima kasih kerana membaca Neelofa - Biar masa menentukan. Jika berguna, tolong kongsikan di media sosial.

« Previous
« Prev Post
Next »
Next Post »

Tips Berkaitan



0 Komen:

Catat Ulasan