Home » » 'Ulat' Arab samseng

'Ulat' Arab samseng

KEHADIRAN 'ulat Arab' yang dikesan aktif mencuri pelanggan terutama kalangan pemandu teksi tempatan secara ugutan menggunakan senjata tajam di sekitar Lembah Klang mendapat perhatian Datuk Mahfuz Omar (Pas-Pokok Sena).
Perkara itu didedahkan Mahfuz ketika bertanya menerusi soalan tambahan kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop yang ingin mengetahui langkah diambil dalam mengekang kehadiran ulat Arab terbabit.

"Saya ingin mendapatkan penjelasan. Baru-baru ini dikatakan bahawa pelajar luar negara yang menjalankan kegiatan pada waktu siang dan malam untuk mengambil penumpang membabitkan pelancong Arab menggunakan kenderaan sewa dan sebagainya.
"Malah, mereka mengancam pemandu teksi di sekitar Kuala Lumpur sekali gus menyebabkan pemandu berkenaan tertekan apabila ada kumpulan pelajar Arab mengugut mereka," katanya dalam soalan tambahan.

Menurutnya, individu yang digelar 'ulat Arab' ini turut menggunakan senjata tajam terhadap pemandu teksi berkenaan.

"Saya lihat bagi isu berkenaan perlu bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN) bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana kesalahan dilakukan ulat Arab berkenaan mengancam keselamatan pemandu teksi," katanya.
Abu Seman dalam jawapan tambahannya menyifatkan kes membabitkan pelajar asing tidak begitu serius, namun isu dibangkitkan terutama berhubung ugutan terhadap pemandu teksi dapat diselesaikan jika laporan polis dibuat.

"Berhubung pelajar asing yang mengugut pemandu teksi, bagi polis, jika ada laporan dibuat, pihak berkenaan akan mengambil tindakan tegas dengan bekerjasama bersama JPJ mengatasi masalah berkenaan," katanya.
Terdahulu, Datuk Leo Michael Toyad (BN-Mukah) meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan berapa jumlah pelajar asing yang ditahan kerana terbabit jenayah pada 2011 dan 2012.

Dalam jawapan utamanya, Abu Seman berkata, selaras dasar semasa negara yang menggalakkan kemasukan pelancong dan menjadi hab pendidikan serantau, kedatangan warga asing sentiasa dialu-alukan.

"Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan pada tahun 2011, 11 kes iaitu tiga kes mendatangkan cedera serta lapan kes curi membabitkan pelajar asing direkodkan dan daripada jumlah itu 16 tangkapan dibuat.

"Selain kes jenayah dinyatakan, 128 pelajar asing ditahan bagi kesalahan berkaitan penyalahgunaan, penyeludupan dan pengedaran dadah manakala 305 pelajar asing pula ditahan bagi kesalahan berkaitan jenayah komersial," katanya.

Menurutnya, tahun ini bermula dari Januari hingga Ogos, 101 pelajar asing ditahan atas kesalahan berkaitan penyalahgunaan, penyeludupan serta pengedaran dadah, manakala 227 pelajar asing ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan jenayah komersial.

"Sehubungan itu, KDN sentiasa menguatkuasakan undang-undang tegas bagi memastikan warga asing termasuk pelajar yang melakukan kesalahan tidak mengulanginya, selain memberi pengajaran kepada yang lain," katanya.


Terima kasih kerana membaca 'Ulat' Arab samseng. Jika berguna, tolong kongsikan di media sosial.

« Previous
« Prev Post
Next »
Next Post »

Tips Berkaitan



0 Komen:

Catat Ulasan