Home » » Bantuan rakyat Malaysia sampai 48 jam ke Gaza

Bantuan rakyat Malaysia sampai 48 jam ke Gaza

Sebagai salah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif dalam membantu rakyat Palestin, Aman Palestin Malaysia tidak pernah kenal erti putus asa dalam usahanya menyalurkan bantuan di Gaza.
Sinar Harian berkesempatan menemubual Ketua Pengarah Eksekutifnya, Awang Suffian Awang Piut berhubung bagaimana NGO ini beroperasi, sempena majlis penyerahan sumbangan Yayasan Nur Karangkraf ke Tabung Kemanusiaan Gaza Sinar Harian di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf, di sini, semalam. Ikuti temu bual oleh Wartawan, Haslina Kamarudin dan Jurugambar Mohd Shafuan Mohd Sabri.

Apakah peranan Aman Palestin?
Kami adalah sebuah NGO, bergerak bagi membantu rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis Israel. Kami juga mempunyai pejabat (Bandar Gaza) yang akan memantau setiap permasalahan di sana. Kerajaan Mesir juga sudah mengiktiraf kami sebagai duta kecil Malaysia di sana. Setiap maklumat yang diterima akan dimaklumkan ke sini. Selepas itu, barulah langkah seterusnya dilakukan iaitu mencari bantuan bagi meringankan kesengsaraan mereka.

Adakah bantuan yang disalurkan hanya berbentuk wang atau boleh memberikan keperluan harian seperti makanan dan pakaian?
Adalah lebih baik sumbangan itu berupa wang. Jika ada yang berhasrat untuk memberikan barang keperluan asas, agak sukar untuk kami membawanya ke sana. Banyak prosedur yang harus dilalui seperti proses perlesenan. Tambah sukar untuk membawa keperluan ubat kerana ia perlu diisytiharkan dan perlu diperincikan. Jadi, untuk mudah, membeli dari Gaza adalah lebih mudah dan cepat. 

Dengan sumbangan yang diterima, bagaimana proses saluran wang dilakukan?
Kami tidak akan membawa wang secara aliran tunai ke sana. Apabila Aman Palestin (Malaysia) menerima wang sumbangan, transaksi akan dilakukan menerusi bank ke bank. Di sana kami menggunakan perkhidmatan Bank Al-Quds. Ia memakan masa selama 48 jam dan barulah Aman Palestin (Bandar Gaza) akan menerima wang tersebut. Proses transaksi adalah cara terbaik, ini bagi memastikan semua kerja dilakukan dengan telus kerana setiap transaksi terdapat penyata.

Berapa ramai pegawai Aman Palestin Di Gaza?

Kami mempunyai lima pegawai Aman Palestin di Gaza terdiri daripada rakyat tempatan yang bekerja secara sukarela. Mereka ini adalah graduan tempatan dan ada juga yang lulusan dari Universiti di Jerman dalam bidang kejuruteraan. Selain itu, kami juga turut menjalin kerjasama dengan lebih 300 NGO tempatan di sana.
 
Bagaimana pembahagian wang dana diagih-agihkan di sana?
Pegawai kami akan dimaklumkan mengenai barang keperluan daripada beberapa kementerian di sana. Wang akan diberikan kepada kementerian terbabit, dan mereka sendiri akan melakukan proses pembelian barang keperluan.

Adakah wang diberikan secara tunai?
Tidak. Semua yang melibatkan wang adalah lebih selamat menggunakan sistem transaksi sahaja. Jadi, setakat ini, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pelajaran di Gaza adalah dua badan yang mengalami masalah paling kritikal, memandangkan mangsa perang semakin ramai. Dua kementerian ini akan mengeluarkan senarai keperluan kepada aman Palestin, kemudian akan memulakan proses membeli keperluan tersebut seperti peralatan perubatan dan keperluan persekolahan menerusi dalam talian. Ia mudah dan cepat. Semua proses pembelian atau tempahan dilakukan oleh kementerian tetapi bayaran akan dibuat oleh Aman Palestin.

Dari mana sumber bekalan tersebut diperoleh?
Kementerian-kementerian yang terlibat akan membeli dari Gaza atau membuat tempahan ke negara Mesir kerana semua keperluan yang dikehendaki. Biasanya untuk keperluan perubatan, ia akan dibuat oleh Persatuan Kedoktoran. Ini kerana, segala ubat-ubatan atau keperluan adalah merangkumi untuk semua hospital dan klinik di Gaza. Setakat ini Mesir antara negara yang mempunyai cukup keperluan bekalan terutamanya stok ubat dan keperluan harian. 

Berapa lama tempoh masa untuk keperluan tersebut sampai?
Kebiasaannya, ia mengambil masa sekitar 12 jam. Paling lewat adalah 24 jam untuk keperluan sampai. Ini bermakna, tempahan harus dilakukan pada tempoh waktu pejabat bagi mendapat bekalan kurang tempoh sehari.

Bagaimana pula proses penerimaan barang keperluan tersebut?
Barang keperluan tersebut akan dihantar oleh syarikat pembekal Mesir melalui jalan darat. Ia akan melalui pintu Rafah dan terus kepada kementerian terbabit. Setibanya di sini, ia akan diedarkan kepada hospital atau klinik. Aman Palestin bertindak memantau proses tersebut.

Adakah sebarang kesukaran sewaktu proses tersebut?
Sejak Aman Palestin ditubuhkan iaitu pada tahun 2004 sehingga kini, tidak pernah berlaku sebarang masalah seperti keperluan tidak sampai, wang tidak diterima atau sebagainya. Namun, seperti yang dijelaskan, kerajaan Hamas telah menetapkan dua syarat iaitu hentikan sekatan dan tiada lagi penahanan dan pembunuhan terhadap rakyat Palestin. Jadi, proses membawa keperluan barangan menjadi mudah. Aman Palestin tetap memantau setiap proses dari dekat bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

Selain Aman Palestin, negara manakah yang turut menyumbang kepada Palestin?
Rakyat Palestin turut menerima bantuan dana daripada seluruh dunia. Setakat ini, persatuan daripada Turki adalah negara paling banyak menyumbang iaitu $22 juta setahun, diikuti negara rantau Arab seperti Mesir iaitu $14 juta setahun. Malaysia menyumbang $3 juta setahun.
 
Adakah tugas lain Aman Palestin selain memantau pergerakan wang dan keperluan di sana?
Tugas Aman Palestin adalah berbentuk bantuan segera. Malah, kami turut turun padang dan pergi ke rumah-rumah mangsa perang dan memberikan susu kepada kanak-kanak. Kami juga turut mengagihkan selimut kerana di sana sedang dilanda musim sejuk. Kami bergerak bersama NGO lain di sana.
 

Apakah perancangan selanjutnya Aman Palestin?
Tugas membantu tidak ada hadnya, dan kami akan terus membantu rakyat Palestin dengan bantuan masyarakat Malaysia. Terbaru, kami akan berangkat ke Gaza pada 7 Disember depan. Kami mensasarkan akan dapat menarik seramai 200 orang untuk sama-sama membantu. Mereka perlu membayar sejumlah RM7,500 bagi menampung kos penerbangan, tempat tinggal dan makanan sepanjangan seminggu berada di sana. Jika tiada aral, kami akan pulang pada 13 Disember.   


Terima kasih kerana membaca Bantuan rakyat Malaysia sampai 48 jam ke Gaza. Jika berguna, tolong kongsikan di media sosial.

« Previous
« Prev Post
Next »
Next Post »

Tips Berkaitan



0 Komen:

Catat Ulasan