Home » » Keghairahan Jual Aset Negeri Selangor Terus Dibongkar.. Kali Ini Worldwide Holdings

Keghairahan Jual Aset Negeri Selangor Terus Dibongkar.. Kali Ini Worldwide Holdings

SHAH ALAM 21 Nov. – Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini hangat apabila kerajaan negeri dipersoal mengenai cadangan anak syarikat kerajaan negeri, Worldwide Holdings Bhd. (Worldwide) yang didakwa mahu menjual 100 peratus saham mereka berjumlah RM150 juta kepada syarikat bukan bertaraf Bumiputera.
Persoalan itu dikemukakan oleh Abdul Shukor Idrus (BN-Kuang) yang mana walaupun penjualan tersebut difahamkan masih belum dimuktamadkan, namun ia dilihat satu cubaan untuk menjual aset milik kerajaan negeri.
Jelasnya, berdasarkan cadangan tersebut, beliau dimaklumkan bahawa saham worldwide yang mana 100 peratusnya dipegang Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan dijual kepada sebuah syarikat baru yang ditubuhkan pada 26 Mac 2012, Worldclass Title Sdn. Bhd. (Worldclass).
Menurutnya, worldclass dimiliki oleh dua pemegang bukan Bumiputera dengan modal berbayar RM2.
"Bagaimanapun, pada 25 Mei 2012, kedua-dua pemegang saham dan Pengarah syarikat Worldclass meletak jawatan dan diganti dengan Pengurus Besar dan Timbalan Pengurus Besar (Korporat) PKNS.
 
"Namun, mereka (dua pemegang saham Worldclass) masih lagi kekal sebagai pemegang saham. Ini bermakna, syarikat tersebut masih lagi dimiliki mereka berdua," katanya ketika membahaskan ucapan Bajet Selangor 2013 di sini hari ini.
Pada masa yang sama, Abdul Shukor turut bertanya kepada kerajaan negeri mengenai motif sebenar cadangan Worldwide itu mahu menjual 100 peratus saham mereka kepada Worldclass.
 
Selain itu beliau turut mempersoalkan pelantikan Pengurus Besar PKNS dan Timbalan Pengurus Besar (Korporat) PKNS untuk menjadi pengarah kepada syarikat yang masih dimiliki sahamnya oleh dua orang pengarah bukan bumiputera sama ada amalan itu dibolehkan atau sebaliknya.
"Rakyat sangat bimbang apabila sejak akhir-akhir ini ketika Pilihan Raya Umum ke 13 menjelang hampir, semakin banyak transaksi cuba dilakukan, adakah tindakan tersebut untuk menjana dana politik," soalnya.
Dalam pada itu, Abdul Shukor turut mempersoalkan langkah PKNS memindahkan lima aset komersialnya kepada sebuah anak syarikat penuh, Private Real Estate Company (PREC) bagi meningkatkan lagi kecekapan pengurusan.
Lima aset tersebut ialah ialah Kompleks PKNS Shah Alam, Wisma Yakin, Kompleks PKNS di Bangi, Menara PKNS di Petaling Jaya dan SACC Mall di Shah Alam bernilai RM321 juta.
 
Jelas Abdul Shukor, difahamkan PKNS akan menerima bayaran wang tunai sebanyak RM100 juta daripada pemindahan aset-aset tersebut manakala bakinya sebanyak RM221 juta dibayar melalui penjualan dan penyerahan harta saham biasa bernilai RM1 sesaham milik anak syarikat itu.
Bagaimanapun katanya, pemindahan tersebut dilihat mengelirukan dan menimbulkan banyak spekulasi memandangkan beliau difahamkan pemindahan aset-aset tersebut sebenarnya bukan kepada PREC, tetapi kepada sebuah syarikat lain iaitu Central Holdings Berhad.
"Syarikat mana sebenarnya yang akan membeli dan menguruskan aset-aset tersebut. Siapakah Lembaga Pengarah dan berapa banyakkah modal berbayar. Difahamkan pemindahan aset itu bukan kepada PREC, tapi syarikat lain iaitu Central Holdings Bhd.
 
"Realitinya, wujud perbezaan yang besar di antara PKNS, PREC dan Central Holdings Bhd. PKNS adalah sebuah anak syarikat kerajaan negeri dan pengurusannya dipantau ketat pentadbiran Selangor dan Perbendaharaan Malaysia, sedangkan PREC tidak banyak tertakluk kepada kawalan terus Kerajaan negeri dan Perbendaharaan Malaysia.
"Selain itu, tiada jaminan bahawa PREC akan terus menjadi milik PKNS. Malah, PREC juga terdedah kepada risiko dibeli oleh pihak swasta atau individu melalui proses 'management buy-out'," jelasnya.
Jelasnya lagi, sekiranya PREC dibeli oleh pihak swasta, ia bermakna aset-aset tersebut tidak lagi menjadi milik PKNS dan rakyat Selangor.


Terima kasih kerana membaca Keghairahan Jual Aset Negeri Selangor Terus Dibongkar.. Kali Ini Worldwide Holdings. Jika berguna, tolong kongsikan di media sosial.

« Previous
« Prev Post
Next »
Next Post »

Tips Berkaitan



0 Komen:

Catat Ulasan