Home » » Piala AFF: Harimau Malaya mampu mengaum esok?

Piala AFF: Harimau Malaya mampu mengaum esok?

SEMENTARA skuad negara bimbingan Datuk K. Rajagobal dikecam teruk dari setiap sudut, seluruh negara ekoran keputusan kalah 0-3 dengan Singapura pada aksi pembukaan Kumpulan B Piala AFF Suzuki kelmarin, bekas-bekas pemain dan penganalisis sukan masih meletakkan harapan Harimau Malaya akan bangkit esok.

Sehubungan itu, Rajagobal harus segera memperbaiki setiap kepincangan yang ada dalam skuad kendaliannya itu dan jangan terus memberikan harapan palsu kepada peminat tanah air.

Apa yang pasti, anak-anak Rajagobal wajib bangkit ketika berdepan Laos esok jika tidak mahu 'berputih mata' ditunjukkan jalan keluar lebih awal kali ini.

Ia begitupun tidak semudah dijangka memandangkan Laos berjaya mengikat naib juara edisi 2010, Indonesia 2-2 dalam satu lagi aksi Kumpulan B kelmarin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga melahirkan harapan Harimau Malaya akan bangkit esok.

Masih belum terlambat. Ini diakui sendiri oleh bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Khalid berkata, Harimau Malaya perlu segera bangkit mempamerkan watak sebenar selaku juara bertahan menentang Loas esok.

Skuad negara tidak boleh berselindung di sebalik alasan, sebaliknya mengatur taktikal baru bagi mengelakkan situasi mengucapkan selamat tinggal lebih awal.

"Sebagai juara bertahan, Malaysia sepatutnya menerbitkan rasa gerun kepada lawan, tetapi situasinya tidak sebegitu.

"Contohnya pada perlawanan semalam, pasukan kita tidak beraksi dengan sepenuh hati. Permainan sangat mengecewakan.

"Saya memang tidak sangka, pemain mempamerkan aksi sangat teruk," katanya.

Namun masih belum terlambat skuad Rajagobal bangkit mencatat keputusan membanggakan semasa bertemu Loas.

"Kita masih ada lagi dua perlawanan. Sudah tiba masanya untuk Harimau Malaya bangkit. Kemenangan ke atas Loas penting untuk mengembalikan moral para pemain.

"Jadi, setiap orang harus memperbaiki kelemahan dan jangan menunding jari kepada sesiapa," jelasnya.

Dalam pada itu, Khalid turut berharap pada perlawanan akan datang, pemain akan lebih bekerjasama dan kuatkan persefahaman dalam diri masing-masing.

"Sekarang ini, masalah bukan hanya kepada bahagian pertahanan, semua posisi mempunyai masalah.

"Pemain sering melakukan kesilapan yang kecil, apa yang jelas barisan pemain tidak bekerjasama antara satu sama lain dan kurang persefahaman.

"Oleh itu, baiki kelemahan dan fokus, jangan ulangi kesilapan yang sama sekali gus mengundang padah kepada kita," ujar beliau yang percaya Malaysia masih mempunyai harapan untuk mempertahankan kejuaraan Piala AFF.

"Sebagai bekas pemain saya tetap optimis namun skuad negara tidak boleh mempamerkan corak permainan seperti permainan sebelum ini kerana lawan jelas sudah mempamerkan peningkatan.

"Masih terdapat kelemahan lain, namun saya percaya jurulatih ada caranya yang tersendiri. Malah beliau sudah mengeluarkan kenyataan tidak panik, jadi biar beliau baiki kelemahan itu," katanya.

Malah Khalid menasihatkan pemain negara terus fokus melakukan persiapan kerana semangat berpasukan yang tinggi akan mengatasi semua cabaran dan rintangan.

Sementara itu, pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UiTM), Ahmad Faisal Mohamed Fiah berkata, punca kekalahan skuad kebangsaan malam kelmarin berikutan kelemahan yang paling ketara di bahagian pertahanan.

"Mereka seolah-olah tiada koordinasi dan persefahaman terutamanya di bahagian tengah yang langsung tidak berperanan," katanya.

Selain itu, Faisal juga tidak menolak kemungkinan faktor kekalahan skuad kebangsaan mungkin disebabkan tekanan yang dihadapi oleh para pemain.

"Mungkin sebab atas faktor juara bertahan dan juga bermain di tempat sendiri, para pemain sedikit tertekan.

"Kita tahu harapan peminat dan negara yang terlalu tinggi kepada mereka, mungkin pemain sedikit tertekan dan hilang fokus.

"Bagaimanapun, saya masih percaya kemampuan anak buah Rajagobal, dan mereka akan bangkit," ujarnya.

Seorang lagi bekas pemain kebangsaan, Hassan Sani berkata, masih ada yang perlu diperbaiki oleh skuad Harimau Malaya sebelum bertemu Loas.

Bekas pemain sayap kiri negara berpendapat, kelemahan paling ketara yang perlu diperkemaskan ialah di bahagian pertahanan.

Katanya, kekuatan sesebuah pasukan bergantung kepada bahagian pertahanan yang kebal selain menyerap tekanan daripada pihak lawan.

"Pertahanan sangat longgar, mereka sering kehilangan bola dan akhirnya bola dikuasai oleh pihak lawan.

"Jadi, saya merasakan kemungkinan barisan pertahanan harus diubah dan selesaikan masalah ini sebelum masa masih ada," katanya.

Tambah Hassan, "bagaimanapun keputusan terletak kepada jurulatih, dan saya tetap menaruh kepercayaan kepada Rajagobal yang beliau mampu memikirkan corak yang terbaik pada perlawanan akan datang."

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada setiap kekalahan yang diterima oleh skuad kebangsaan harus mempersalahkan Rajagobal, Hassan bagaimanapun menyifatkan adat perlawanan mesti ada kalah dan menang.

"Bukan salah Rajagobal, beliau sudah melakukan yang terbaik demi negara.

"Lagipun, adatlah bagi peminat, sekiranya menang kita akan dipuji, sekiranya kalah, kita akan dimaki.

"Apa-apa pun, kita harus memberi semangat kepada mereka dan percaya mereka akan bangkit nanti," ujar beliau yang merasakan sejarah 2010 mungkin akan berulang.

"Bagi saya, skuad Harimau Malaya lambat panas, mungkin perlawanan kedua nanti mereka akan mengaum.

"Kita lihat pada 2010, Malaysia kalah 0-5 kepada Indonesia, kemudian kita seri dengan Thailand dan nasib membantu kita layak ke separuh akhir selepas Indonesia menang ke atas Thailand, jadi tidak mustahil sejarah akan  berulang. Sama-sama kita lihat dan berdoa untuk negara," ujarnya.


Terima kasih kerana membaca Piala AFF: Harimau Malaya mampu mengaum esok?. Jika berguna, tolong kongsikan di media sosial.

« Previous
« Prev Post
Next »
Next Post »

Tips Berkaitan



0 Komen:

Catat Ulasan