Home » » Piala AFF - ‘Tiada kaitan dengan perkahwinan saya’

Piala AFF - ‘Tiada kaitan dengan perkahwinan saya’

PENJAGA gol No. 1 negara, Khairul Fahmi Che Mat menepis dakwaan bahawa tumpuannya terjejas ekoran persiapan perkahwinan yang bakal berlangsung pada penghujung Disember depan.
Namun pada masa sama, pemain berusia 23 tahun itu tanpa berselindung mengakui dirinya menjadi punca utama kekalahan 0-3 skuad Harimau Malaya kepada Singapura pada aksi pembuka tirai peringkat Kumpulan B Kejohanan Bola Sepak Piala Suzuki AFF 2012 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam kelmarin.
Dalam perlawanan itu, Khairul Fahmi yang juga dikenali sebagai Apek didakwa membuat kesilapan mudah apabila gagal mengeluarkan bola pada minit ke-37 hasil sepakan percuma Shahdan Sulaiman sebelum disambar Shahril Ishak untuk gol kedua Singapura pada perlawanan tersebut.
Persembahan goyah Apek dalam pertemuan itu telah mengundang resah peminat biarpun penjaga gol utama Harimau Malaya itu kembali fokus pada separuh masa kedua.
 
"Saya bertanggungjawab atas kekalahan Malaysia kepada Singapura. Begitupun, ia tiada kena mengena dengan persiapan perkahwinan saya.
"Sekali lagi, saya memohon maaf kepada seluruh rakyat kerana gagal membantu skuad negara mencatatkan kemenangan ketika menentang Singapura dan berjanji akan kembali bangkit selepas ini," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan malam kelmarin.
Untuk rekod, Apek, 23, yang merupakan penjaga gol utama Kelantan bakal menamatkan zaman bujangnya bersama pemilik butik pengantin, Nur Eilunie Natasha Nazri, 21, atau mesra dengan panggilan Leuniey pada 28 Disember ini.
 
Sementara itu, bekas penjaga gol kebangsaan, Mohd. Sharbinee Allawee Ramli tampil mempertahankan prestasi Apek sambil menyifatkan wira Piala Suzuki AFF 2010 itu bakal mengulangi persembahan hebat pada perlawanan kedua ketika menentang Laos malam esok.
"Inilah bola sepak. Kadang-kadang kita menonjol, kadang-kadang tidak.
"Tekanan amat dirasai memandangkan kita tampil sebagai juara bertahan, tambahan pula menjadi tuan rumah kejohanan.
"Jadi, kita sebagai peminat haruslah memberikan semangat bukan sekadar mengkritik tak kena pada tempatnya.
"Jangan mudah menghukum Apek hanya disebabkan satu kesilapan sedangkan sebelum ini dia banyak membantu skuad negara," ujar Sharbinee yang pernah menjadi mangsa kecaman peminat akibat beberapa kesilapan mudah yang dilakukan.


Terima kasih kerana membaca Piala AFF - ‘Tiada kaitan dengan perkahwinan saya’. Jika berguna, tolong kongsikan di media sosial.

« Previous
« Prev Post
Next »
Next Post »

Tips Berkaitan



0 Komen:

Catat Ulasan