Home » » Tarikh usia bersara 60 tahun diumum

Tarikh usia bersara 60 tahun diumum

Kuala Lumpur: Kerajaan dijangka mengumumkan tarikh atau tempoh tertentu pelaksanaan umur persaraan 60 tahun, sekali gus menguatkuasakan Rang Undang-Undang Umur Persaraan Minimum 2012, bulan depan.

Mesyuarat tertutup di Putrajaya semalam membabitkan Kementerian Sumber Manusia dan beberapa pihak berkepentingan termasuk badan berkanun, majikan, pihak industri, wakil Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) menunjukkan tanda positif ke arah itu.
Presiden MTUC, Mohd Khalid Atan, ketika dihubungi, berkata kementerian dijangka mengumumkan tarikh pelaksanaan selepas satu lagi pertemuan dengan pihak berkepentingan tetapi beliau tidak pasti tarikh pengumuman.

Hasil mesyuarat petang tadi (semalam) sangat positif tetapi saya tidak boleh membincangkan lebih lanjut kerana ia mesyuarat tertutup.

Saya juga tidak boleh menyatakan sebarang pendirian MTUC kerana ia seolah-olah saya membocorkan apa yang dibincangkan dalam mesyuarat, katanya.

Berdasarkan Rang Undang-Undang Umur Persaraan Minimum 2012 yang diluluskan Parlimen baru-baru ini, umur persaraan wajib bagi pekerja swasta dinaikkan kepada 60 tahun dan majikan tidak boleh memaksa pekerja bersara sebelum kakitangan mencapai usia persaraan minimum.

Awal bulan ini, akhbar melaporkan kenyataan jurucakap kementerian bahawa umur persaraan baru bagi sektor swasta tidak akan dilaksanakan bermula awal tahun depan walaupun rang undang-undang itu sudah diwartakan pada 16 Ogos lalu.
Kenyataan itu mengundang reaksi segera MTUC dan Khalid mahu diadakan pertemuan dengan kementerian untuk memperjelas spekulasi itu.

Pengarah Eksekutif MEF, Shamsuddin Bardan, berkata mesyuarat semalam menunjukkan tanda positif, terutama dalam isu tempoh peralihan sekurang-kurangnya setahun sebelum akta berkuat kuasa bermula daripada tarikh pewartaan akta.

Katanya, mesyuarat tidak memutuskan bila akan diumumkan mengenai tarikh pelaksanaan umur persaraan 60 tahun.

Pada prinsipnya kita menyokong peningkatan umur persaraan kepada 60 tahun tetapi itu tidak seharusnya terburu-buru.

Oleh itu, kami meminta kerajaan menetapkan tempoh peralihan setahun bermula tarikh akta diwartakan bagi membolehkan pelbagai isu berkaitan, terutama percukaian dan insurans diselesaikan, katanya.


Terima kasih kerana membaca Tarikh usia bersara 60 tahun diumum. Jika berguna, tolong kongsikan di media sosial.

« Previous
« Prev Post
Next »
Next Post »

Tips Berkaitan



0 Komen:

Catat Ulasan