Home » » Kenapa Anuar mula berpantang makan minum?

Kenapa Anuar mula berpantang makan minum?

Ahad, 27 Januari, jam 11.30 pagi, dia tiba bersama 'entourage' dari Anuar Zain Network terdiri daripada dua pengurus, Nana Ahmad dan Dura Talib termasuk Sam Kassim (Pengurus Promosi) serta jurusolek.
Santai saja penampilannya. Cukup menyarungkan kemeja-T rona merah dari jenama Abercrombie & Fitch dipadan celana khakis biru gelap, aura penghibur bernama Shahrul Anuar Zain atau nama pentasnya, Anuar Zain, sukar disangkal.
Seperkara yang jelas, tubuhnya sedikit susut berbanding dua pertemuan sebelum ini saat melancarkan klip video, Ajari Aku serta pengumuman harga tiket konsertnya, sekitar hujung tahun lalu.

"Saya ke gimnasium kebelakangan ini tetapi tujuannya lebih kepada membekalkan stamina bagi menghadapi konsert yang akan berlangsung lebih kurang dua minggu saja lagi," ringkas jelasnya.

Menjadi rutin mingguan untuk tempoh dua bulan ini, segala apa yang dilakukannya itu bagi memberikan persembahan yang terbaik buat para pencintanya.

Sebagaimana diketahui umum, pelantun Sedetik Lebih itu punya rencana besar pada tanggal 16 Februari ini. Menamakan konsert solo pertama, Anuar Zain Tiga Dekad Muzik, Cinta dan Sanubari, jelas sekali kesihatan amat dititikberatkan olehnya.

"Saya juga berpantang daripada mengambil makanan berminyak, begitu juga nasi sebanyak mana yang saya mampu. Saya juga elak minum minuman sejuk. Selain, meneruskan amalan rutin dengan mengambil Vitamin C, B-Complex dan minyak ikan.

"Durasi dua jam membuat persembahan, kalau tidak punya tenaga yang cukup dan tidak menjaga pemakanan takut memberi kesan pada nyanyian nanti," katanya tidak lekang senyuman.

Melanjutkan perbualan, di sebalik getaran debaran yang tersemat rapi dalam sanubarinya, setiap kata-kata Anuar membayangkan betapa hatinya gembira untuk melaksanakan konsert perdananya itu.

"Sudah tentu gementar kerana ini konsert Mega yang pertama kali dianjurkan. Rasa gementar ini sudah membelenggu saya sejak dua bulan lalu sebenarnya. Namun lebih baik di sarang perasaan sebegitu daripada 'over confident' bukan?

"Apapun saya baru selesai sesi latihan beberapa hari yang lalu dan sudah mendengarkan susunan muzik baru untuk 20 rangkaian lagu bakal saya bawakan termasuk satu medley di buat oleh pengarah muzik Mac Chew.

"Saya sangat berpuas hati dan teruja kerana susunan yang baru ini kedengaran begitu segar. Selain itu, visual dan foto yang akan melatari skrin LED konsert juga sudah siap.

"Pengarah visualnya adalah Amri Gina dan melihatkan hasil kerja ia sesuatu 'personal' dan dekat dengan hati saya. Apa yang saya harapkan semuanya berjalan dengan baik dan lancar di konsert nanti agar kita sama-sama dapat menyaksikan keindahan yang cuba ditampilkan menerusi konsert ini," katanya.


'Paksa' peminat hafal lirik!

Masih berpusar soalan yang sama, penyanyi melonjak dengan lagu Bila Resah itu turut ditanya bagaimana dia mengatasi tekanan saat menghadapi konsert ini. Adakah menonton wayang sebagai salah satu terapi?

"Ooh... saya tidak ada masa menonton wayang buat masa sekarang ini kerana terlalu sibuk. Sebetulnya sejak dulu lagi saya jarang menonton wayang, setahun mungkin cuma empat, lima kali. Saya lebih gemar menonton DVD di rumah. Saya cerewet sebenarnya untuk menonton filem melainkan ia berbaloi di tonton.

"Berbalik pada soalan tadi, tekanan saya rasakan hilang bila saya menjalani latihan bersama pemuzik yang terbabit dalam konsert ini. Separuh daripada tekanan hilang kerana saya tahu bahawa semuanya sudah berjalan, malah setiap orang mahukan yang terbaik dan bersedia menghadapi hari konsert.

"Kalau bahagian-bahagian penting seperti pemuzik, rekaan pentas, visual, jualan tiket dan promosi belum 'ready', ini adalah sangat 'nervous'.

"Kalau ikutkan saya tidak perlu fikir pun kerana semua orang ada tugas masing-masing tetapi saya kena ambil tahu kerana ia membabitkan nama saya. Baik atau buruk, saya bertanggungjawab atas semua itu," katanya.

Menjawab pertanyaan seterusnya, adakah percubaan pertama ini menggesa perasaannya untuk mempunyai satu lagi siri konsert, pemuda berwajah kacak ini membalas, kenapa tidak seandainya memperoleh peluang.

"Kalau ada peluang apa salahnya tetapi bukan dalam masa terdekat kerana tumpuan saya buat masa ini adalah untuk konsert yang pertama ini. Mungkin tahun depan dan saya sebenarnya lebih suka persembahan yang ibu-bapa boleh datang, anak, pasangan kekasih dan suami-isteri.

"Sambil santai mendengar lagu, ada hidangan disediakan dan konsep seperti ini lebih intim. Apapun, saya seru kepada peminat untuk datang 'and have a good time together' pada konsert saya pada 16 Februari ini.

"Saya mengharapkan konsert ini mampu menjadi sesuatu yang boleh kita kongsi dan diceritakan kembali pada masa akan datang. Jangan lupa hafal lirik-lirik lagu saya supaya boleh menyanyi bersama-sama. Saya paksa!" katanya berseloroh.


Mahu jumpa Pak Zain, Ziana

Keakraban antara Anuar dengan ayahnya, Pak Zain, sememangnya diketahui umum. Jika bukan kerana Pak Zain yang mengenengahkan bakat Anuar yang dikenali sebagai penyanyi kanak-kanak pada era 1980-an tidak mungkin Anuar Zain menjadi seperti hari ini.

Sebetulnya, bukan Anuar saja anak yang sentiasa mendapat dorongan Pak Zain dalam bidang seni akan tetapi kakak sulungnya, siapa lagi kalau bukan Ziana Zain.

Justeru, penulis melontarkan soalan apakah Anuar mencuri masa untuk bertemu abahnya itu untuk bercerita mengenai perancangan konsert ini.

"Abah tidak memberikan 'input' kerana dia percaya dengan keputusan anak-anaknya. Lagipun, saya bukan lagi anak kecil seperti mana abah menguruskan saya dulu.

"Pun begitu, seperti bapa-bapa yang lain, pastinya dia mendoakan saya yang baik-baik. Dia tahu saya sudah lama mengimpikan ini dan berharap semuanya berjalan lancar. Begitu juga emak, dia tidak kisah.

"Cuma sebelum menjelang konsert saya mahu bertemu dengan Kak Ziana untuk mendapatkan idea-idea dan komen-komen kerana dia lebih pengalaman. Lagipun keluarga biasanya memberikan komen paling jujur kerana mereka tahu kelebihan dan kelemahan kita," katanya.

Sengaja mengusik, apakah dia tidak mahu mengajak kakaknya itu berduet satu lagu Anuar berkata, keinginan beraksi dengan Ziana itu memang selalu ada tetapi bukan untuk konsert yang ini.

"Saya sebenarnya ada satu kebimbangan jika saya menampilkan kakak saya atau artis undangan bimbang peminat tidak selesa dengan keadaan itu kerana mereka melaburkan sejumlah wang untuk menonton persembahan saya. Berdasarkan pengalaman yang lepas-lepas kebanyakan peminat setia saya mereka lebih suka suasana 'personal' iaitu hanya mereka dan saya saja.

"Insya-Allah kalau ada rezeki mengadakan persembahan semacam ini sekali lagi, pastinya saya mahu beraksi dengan penyanyi-penyanyi yang saya kagumi dan hormati termasuk kakak saya, Ziana" katanya.


Terima kasih kerana membaca Kenapa Anuar mula berpantang makan minum?. Jika berguna, tolong kongsikan di media sosial.

« Previous
« Prev Post
Next »
Next Post »

Tips Berkaitan



0 Komen:

Catat Ulasan