Home » » MyEG urus BL1M

MyEG urus BL1M

PEMBEKAL e-perkhidmatan kerajaan Malaysia, My E.G. Services Berhad (MyEG) dilantik bagi mengurus dan mentadbir perjalanan program Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M) di seluruh Negara susulan pelancaran rasminya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pengerusi Eksekutif MyEG, Datuk Dr Norraesah Mohamad, berkata MyEG bangga kerana diberi kepercayaan dan amanah untuk mengurus serta mentadbir program BL1M, yang akan menggunakan seluruh rangkaian sokongan MyEG bagi memanfaatkan golongan sasaran.
"Selari dengan matlamat kami untuk mengutamakan rakyat, kami percaya bahawa BL1M akan meningkatkan kesedaran mengenai etika pemanduan berhemat dan sekali gus meningkatkan tahap keselamatan semua pengguna jalan raya.


"Rangkaian infrastruktur bersepadu MyEG bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sudah dibuktikan dalam tempoh sedekad yang lalu, dan kami akan terus mempertingkatkan kecekapan dalam menjayakan program BL1M," katanya.

Norraesah berkata, program BLIM yang diilhamkan Sekretariat Hal Ehwal Bandar (SHEB) bersama dengan Pemuda Barisan Nasional (BN) itu membolehkan pemohon kali pertama lesen bawah 250cc membayar yuran RM199 merangkumi perkhidmatan menangkap gambar, kelas latihan amali, ujian teori undang-undang berkomputer dan ujian praktikal di institut memandu (IM) yang diluluskan oleh JPJ.

Menurut kajian yang dijalankan SHEB, lebih 200,000 orang didapati menunggang motosikal tanpa lesen yang sah dalam tempoh 10 tahun ini dan angka itu berkemungkinan lebih besar berikutan kekurangan kesedaran mengenai bahaya menunggang tanpa lesen.

Norraesah berkata, BL1M mendapat sambutan cukup menggalakkan dari orang ramai sejak diumumkan Pemuda BN pada pertengahan Januari lalu.
"Kami mendapati program ini diberi sambutan hebat untuk pendaftaran dalam talian daripada pengguna yang berminat untuk menyertai inisiatif ini. Ia menunjukkan bahawa orang ramai memandang positif terhadap manfaat program ini.

"Dengan perasmian program BL1M hari ini (semalam), pelaksanaannya akan dilakukan secara bersungguh-sungguh. Kami yakin bahawa program ini akan meningkatkan tahap keselamatan jalan raya secara am," katanya.

Katanya, bagi mengelakkan rakyat Malaysia menjadi mangsa penipuan oleh sesetengah golongan, BL1M, Pemuda BN dan MyEG tidak melantik mana-mana ejen atau agensi untuk mendaftar dan memungut yuran bagi pihak BL1M, sama ada pintu ke pintu mahupun di tempat awam, kecuali di pusat yang diluluskan dan pejabat komponen parti Pemuda BN saja.

Sementara itu, institut memandu yang ingin menyertai program ini perlu memperoleh kelulusan JPJ bagi proses saringan dan menjalani sistem pembidaan terbuka.

Program BL1M terbuka kepada warga negara Malaysia berumur berusia antara 17 hingga 40 tahun yang tidak mempunyai sebarang jenis lesen memandu.

Peserta yang gagal ujian berkomputer kali pertama akan dibenarkan untuk mengambil ujian sebanyak dua kali lagi tanpa dikenakan caj tambahan.

Borang permohonan program BL1M disediakan kepada calon dalam tempoh dua minggu bermula 31 Januari. Borang berkenaan boleh didapati daripada 222 pejabat komponen parti Pemuda BN di seluruh negara, atau menerusi laman web www.bl1M.my dan www.myeg.com.my.

Yuran RM199 hanya diterima dalam bentuk kiriman wang (money order), dan hanya diperlukan semasa penyerahan borang yang lengkap di pusat yang diluluskan.
Bayaran dalam bentuk tunai tidak dibenarkan pada bila-bila masa dalam program BL1M.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web di www.bl1M.my atau hubungi talian bantuan di 03-78018888.


Terima kasih kerana membaca MyEG urus BL1M. Jika berguna, tolong kongsikan di media sosial.

« Previous
« Prev Post
Next »
Next Post »

Tips Berkaitan



0 Komen:

Catat Ulasan