Home » » Apa hal dengan Pekin?

Apa hal dengan Pekin?

FILEM terbitan Metrowealth Pictures yang ke-85 yang berjudul Paku Pontianak mempertaruhkan bakat Pekin sebagai teraju utamanya di samping pelakon baharu, Uqasha Senrose.
Paku Pontianak merupakan filem ketiga Pekin bersama Metrowealth yang mana sebelum ini Pekin telah berlakon dalam filem Cerita Kita dan Legenda Budak Hostel.
 
Katanya yang ditemui pada majlis doa selamat pelancaran filem itu di pejabat Metrowealth di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, walaupun mengikat kontrak sebanyak lima buah filem bersama Metrowealth, dia masih bebas berlakon dengan mana-mana produksi lain.
"Ya, memang saya bersama Metrowealth untuk lima buah filem dan kontrak itu akan diperbaharui mengikut tahun. Pihak mereka juga menguruskan jadual saya jika berkaitan dengan filem-filem terbitan Metrowealth.
 
"Selebihnya saya uruskan sendiri. Jika ada tawaran daripada produksi lain, saya masih bebas untuk menerima tawaran itu seperti biasa," ujarnya.
Tahun ini, filem lakonannya yang bakal ditayangkan termasuklah Tokan, Rock Oo - Rimba Bara Kembali, Apokalips X dan Rentaz.
"Sebenarnya pihak Metrowealth yang menghubungi saya terlebih dahulu dan tawaran mereka ditolak beberapa kali. Selepas saya berbincang dengan keluarga, saya mengambil keputusan apa salahnya mencuba sesuatu yang baharu.
"Alhamdulillah, sekarang ini saya bukan sahaja berhak memilih filem apa yang sesuai untuk diri saya tetapi juga pihak pengurusan mengatur jadual kerja saya dengan cukup teratur.
 
"Sebelum ini, semua benda saya lakukan sendiri. Agak berserabut kepala saya, sekarang ini biarlah ada pihak lain yang uruskan tetapi kerja di luar Metrowealth masih lagi tanggungjawab saya sepenuhnya," balasnya yang turut diberi kepercayaan oleh Metrowealth yang diterajui David Teo itu untuk mengarah filem tidak lama lagi.
Bercerita mengenai watak Adam yang dilakonkan Pekin dalam filem Paku Pontianak, ujarnya, tiada sesuatu yang istimewa pada karakter tersebut. Bagaimanapun, latar belakang Adam cukup menarik.
"Adam itu wataknya biasa-biasa sahaja tetapi latar belakangnya yang merupakan keturunan pawang adalah sesuatu yang menarik.
"Saya masih membaca skrip dan masih terfikir-fikir cara untuk watak Adam bagi memberi impak kepada penonton sebab filem berkaitan puntianak dari zaman hitam putih lagi sudah wujud.
 
"Apa yang hebat sangat puntianak, sedangkan ia hanya hantu tetapi seluruh dunia mempunyai cerita yang tersendiri mengenainya termasuk Malaysia.
"Sekarang ini terpulang kepada pengarah bagaimana ingin mengolah filem Paku Pontianak supaya berbeza dengan filem seram tentang puntianak yang sedia ada dalam pasaran tempatan. Saya akan memberi input yang terbaik untuk filem ini," ujarnya yang turut membikin lagu runut bunyi untuk filem Paku Pontianak.
Sementara itu, Paku Pontianak turut menampilkan pelakon baharu, Hidayah Samsudin. Hidayah, 24, sebelum ini diserap ke dalam agensi pelakon di bawah Metrowealth iaitu MIG Talent ekoran kemenangannya dalam program SimplySiti Star Search.
"Sebelum ini saya memang minat sangat berlakon dan menyanyi tetapi tidak pernah berpeluang. Jadi, filem Paku Pontianak merupakan pentas pertama saya mempamerkan bakat lakonan.
 
"Walaupun saya masih baharu dan tidak mempunyai sebarang asas dalam bidang lakonan tetapi saya yakin mampu menggalas tanggungjawab yang diberikan pihak Metrowealth," katanya yang memegang watak antagonis sebagai Seri.
Paku Pontianak yang mula menjalani penggambaran pada 3 Februari lalu, diarahkan oleh Ismail Bob Hashim. Selain Pekin, Uqasha dan Hidayah pelakon lain yang turut terlibat dalam filem ini ialah Adibah Yunus, Along Eyzendy, Ruminah Sidek dan Sidek Hussin.



Terima kasih kerana membaca Apa hal dengan Pekin?. Jika berguna, tolong kongsikan di media sosial.

« Previous
« Prev Post
Next »
Next Post »

Tips Berkaitan



0 Komen:

Catat Ulasan