Home » » 'Artikel 88 relevan untuk disiplinkan ahli'

'Artikel 88 relevan untuk disiplinkan ahli'

PUTRAJAYA - Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, Artikel 88 Statut Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih relevan untuk membentuk ahli yang berdisiplin dan mengikut peraturan organisasi.Katanya, sebagai badan induk bola sepak dalam negara, FAM seperti organisasi lain juga mempunyai peraturan dan undang-undang sendiri untuk dipertahankan serta diuruskan.
Tanpa menyebelahi mana-mana pihak, beliau menegaskan, adalah menjadi tanggungjawab ahli gabungan persatuan tersebut untuk menyelesaikan sebarang isu yang timbul secara profesional dan mengikut saluran betul.
 
"Sebagai contoh seorang pemberita yang bercakap tentang kebebasan akhbar tetapi bolehkah dia menulis dalam surat khabar lain dan mengkritik dasar akhbar sendiri, sudah tentu tidak boleh.
"Perkara ini perlu difahami semua pihak. Tanpa disiplin akan bawa masalah lebih besar dan saya dalam soal ini tidak memihak kepada FAM. Mana-mana ahli yang tidak berpuas hati boleh bawa ke mesyuarat persatuan untuk diselesaikan," katanya selepas menyaksikan majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Tokyo Broadcasting System (TBS) dan Sasuke Malaysia di sini, semalam.
Beliau mengulas cadangan beberapa pihak yang meminta Artikel tersebut dikaji semula berikutan beberapa teguran panas daripada ahli gabungan menyebabkan ada di antara mereka dikenakan hukuman tegas termasuk digantung.
 
Dalam pada itu, Ahmad Shabery turut meminta ahli gabungan yang tidak berpuas hati dengan penggunaan Artikel tersebut supaya lebih berani mengusulkan cadangan mengkaji semula dalam mesyuarat yang diadakan.
Katanya, sebagai ahli gabungan yang sah tidak guna sekiranya mereka hanya bersuara lantang di media tetapi berdiam diri dalam mesyuarat.
Sementara itu, diminta mengulas isu penggantungan seumur hidup pemain import Selangor dari Lebanon, Ramez Dayoub yang didapati bersalah dalam skandal mengatur perlawanan, beliau berkata, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) seharusnya menghormati keputusan tersebut.
Katanya, FAS tidak boleh sewenang-wenang mengekalkan pemain tersebut sekiranya didapati bersalah dan mempunyai masalah di negara asalnya.
 
Akhbar hari ini memetik laporan media Lebanon, Aljadeed Sport, bahawa Ramez merupakan salah seorang daripada dua pemain yang terbabit semasa cuba mengatur keputusan pertemuan antara Lebanon dan Qatar pada pusingan kelayakan akhir Piala Dunia 2014 zon Asia, 30 Jun lalu.
Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi Suruhanjaya Siasatan dan Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak Asia Barat, Fadi Zureikat di Ibu Pejabat Persatuan Bola Sepak Lebanon.



Terima kasih kerana membaca 'Artikel 88 relevan untuk disiplinkan ahli'. Jika berguna, tolong kongsikan di media sosial.

« Previous
« Prev Post
Next »
Next Post »

Tips Berkaitan



0 Komen:

Catat Ulasan