Home » » Wings kembali gegar Istana Budaya - Macam mana nak dapat tiket?

Wings kembali gegar Istana Budaya - Macam mana nak dapat tiket?

POPULAR menerusi genre rock, lagu-lagu alunan kumpulan legenda ini seperti Opera Hidup, Misteri Mimpi Syakilla, Taman Rashidah Utama, Bernafas Dalam Lumpur, Semalam Yang Hangat dan Biru Mata Hitamku, pastinya masih melekat di hati pengikut setia mereka.

Meskipun sudah bertapak selama 25 tahun dalam industri seni tanah air, kumpulan ini tiada tolok tandingnya malah terus diminati sehingga ke hari ini.

Atas alasan itu, kumpulan yang dianggotai Awie (vokalis), Joe, Eddie dan Black ini sekali lagi menemui peminat mereka di pentas berprestij Istana Budaya (IB) pada 26 hingga 30 April depan buat kali kedua.

Jika sebelum ini Wings muncul di pentas IB dengan konsert Opera Hidup, kali ini mereka tampil bersama konsert Wings Rockestra pula.

Menariknya, konsert Opera Hidup yang diadakan dua tahun lalu telah mencatat sejarah di IB apabila ia dicatat sebagai konsert tertinggi jumlah kutipannya berdasarkan jualan tiket.

Rentetan kejayaan tersebut, pihak IB tidak teragak-agak membenarkan Wings mengadakan persembahan mereka di pentas berprestij itu, sekali gus bakal mencipta fenomena dalam jadual persembahan IB tahun ini.

Mengulas mengenai Wing Rockestra, ketua pengarah IB, Ketua Pengarah IB Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, beliau yakin, konsert kedua ini mampu berjaya seperti konsert sebelumnya.

"Kami bersetuju untuk mengadakan konsert ini kerana mereka mempunyai peminat dan pengikut tersendiri.

"Lagipun, Wings adalah satu nama besar yang sangat dinantikan peminat untuk mengadakan konsert.

"Salah satu sebab konsert kali ini akan menggegarkan pentas IB, ia adalah kerana mereka berjanji untuk menyanyikan lagu yang belum pernah dipersembahkan di hadapan penonton sebelum ini," katanya dalam sidang media konsert itu.

Dalam pada itu, konsert ini juga akan diiringi seramai 43 pemuzik Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) IB yang dipimpin oleh Mustafa Fuzer.

Ia dimantapkan lagi dengan kerjasama Joe Wings selaku pengarah muzik dan penggubah muzik orkestra, Lee Tse Wan.

Bukan 'tangkap muat'

Walaupun konsert Opera Hidup membuahkan kejayaan kepada Wings, namun bagi mereka, ia bukanlah alasan untuk sambil lewa atau tangkap muat terhadap konsert yang mengambil durasi 2 jam setengah itu.

"Apabila berjaya menembusi pentas IB (Istana Budaya), ia menjadi satu tanda aras atau standard kepada kami sama seperti mereka yang pernah melakukan persembahan di sini.

"Oleh itu, besar harapan kami untuk membuat yang lebih baik dalam konsert kali ini.

"Lebih-lebih lagi, jika mereka yang pernah menyaksikan konsert Opera Hidup turut hadir menonton Wing Rockestra, pasti mereka mahukan lebih pada konsert ini," katanya mereka.

Bagaimana pun, jelas Awie mewakili ahli yang lain, mereka juga tidak mahu teruja dan terlalu yakin dengan konsert kedua ini.

"Memang kami akan lakukan yang terbaik, namun kita hanya mampu merancang dan Tuhan menentukan.

"Jadi, saya harap, sekurang-kurangnya biarlah ia setanding konsert yang lalu," katanya selaku vokalis kumpulan ini.

Tampil kelainan

Berkongsi mengenai kelainan yang bakal ditampilkan pada konsert itu nanti, ujar Awie, sudah tentu konsert kedua ini amat berbeza dengan konsert yang pertama.

Tidak mahu mengulangi konsep sama, beritahunya kepada media, mereka dalam perancangan memilih lagu yang tidak pernah dibawa dalam mana-mana konsert sebelum ini.

"Ada lagu lama dan ada juga lagu baru, tetapi lagu lama ini kita tidak pernah nyanyi kepada audiens sebelum ini.

"Memang susah nak pilih lagu lebih-lebih lagi kebanyakan lagu Wings punyai pengikut tersendiri," katanya.

Ditanya adakah lagu berhantu Wings seperti Sejati akan dinyanyikan malam itu, katanya, mereka tidak boleh mengadakan konsert itu tanpa lagu berhantu yang sudah sebati dengan Wings.

"Lagu Sejati dan Taman Rashidah Utama misalnya, umpama 'trademark' kepada kumpulan ini.

"Jadi ia harus ada demi memuaskan hati penonton yang menyaksikan konsert ini nanti," katanya.

 Pengalaman jadi panduan

Pengalaman melakukan persembahan bersama OSK IB di konsert pertama menjadi pengalaman berharga kepada Wings.
Jelas mereka, bukan mudah apabila terpaksa mengubah elemen rock kepada bentuk orkestra untuk merealisasikan konsert tersebut.

"Oleh kerana pengalaman lalu telah mengajar kami bagaimana berhadapan cabaran ini, jadi kami tidak terlalu tertekan berbanding konsert pertama.

"Apa pun, kami perlu betul-betul bersedia supaya tidak timbul sebarang masalah apabila persembahan dilakukan nanti.

"Diiringi orkestra perlu diambil serius kerana jika berlaku kesilapan, ia boleh memberi kesan kepada keseluruhan konsert," kata mereka.

Dalam pada itu, Awie sempat berkongsi mengenai reaksi penonton yang menyaksikan persembahan konsert Opera Hidup sebelum ini.

Katanya, dia masih tidak dapat melupakan bagaimana penonton yang datang ke konsert rock terpaksa menjaga tingkah laku mereka di IB.

"Mereka tidak dibenarkan berdiri kerana konsert ini berlangsung di pentas berprestij, memang kesian lihat mereka kena layan lagu sambil duduk," katanya.

Sementara itu, Wings juga bakal muncul dengan album terbaru mereka yang masih dalam proses rakaman dan dijangka dilancarkan secepat mungkin.


Terima kasih kerana membaca Wings kembali gegar Istana Budaya - Macam mana nak dapat tiket?. Jika berguna, tolong kongsikan di media sosial.

« Previous
« Prev Post
Next »
Next Post »

Tips Berkaitan



0 Komen:

Catat Ulasan