Home » » MPYM minta Limkokwing buka kampus di Gaza

MPYM minta Limkokwing buka kampus di Gaza

Cyberjaya: Gerakan Belia Malaysia Palestin (MPYM), badan yang didaftarkan di bawah Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) mencadangkan Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing Malaysia membuka kampus di Gaza, Palestin.

Peluang pendidikan
Ia bagi membolehkan universiti yang turut mempunyai kampus di benua Afrika, Eropah dan Asia itu, menyediakan peluang pendidikan peringkat tinggi kepada belia Palestin yang terpaksa keluar negara untuk melanjutkan pengajian peringkat sarjana dan doktor falsafah (PHD).


Presiden MPYM (Malaysia) yang juga Presiden Gerakan Belia Gagasan 1Malaysia (GBG1M), Shahrul Nasrun Kamarudin, berkata penubuhan kampus universiti swasta itu boleh membantu warga Palestin memperkasakan pembangunan sumber manusia di wilayah konflik berkenaan.

Sukar keluar negara

"Belia Palestin menghadapi masalah untuk keluar negara dengan kos dan dana yang tinggi. Dengan pembinaan kampus Universiti Limkokwing di Gaza tentunya ia membantu.

"Kita mencadangkan perkara ini kerana kita tahu Limkokwing berhasrat membuka kampus di Ramalah, Tebing Barat tapi ia belum berlaku," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengetuai kunjungan delegasi MPYM termasuk 11 wakil delegasi MPYM dari Palestin ke kampus induk Universiti Limkokwing, semalam.

Turut hadir, Penasihat MPYM, Datuk Mohd Farid Hassan dan Presiden MPYM (Palestin) Mohamed Y Hasna yang juga koordinator Persidangan Kerjasama Islam (OIC) di Gaza.

Naib Presiden Universiti Limkokwing, Datuk Fajura Juffa Mohd Mustafa Kamal menyambut baik cadangan itu dan berjanji membawanya ke peringkat atasan kelak.

"Kita menyokong usaha pembangunan sumber manusia terutama dalam bidang inovatif dan kreatif. Malah kita menawarkan diskaun 50 peratus kepada pelajar antarabangsa dari negara konflik, termasuk dari Palestin, " katanya.
Ketika ini terdapat 120 warga Palestin melanjutkan pengajian di Cyberjaya.


Terima kasih kerana membaca MPYM minta Limkokwing buka kampus di Gaza. Jika berguna, tolong kongsikan di media sosial.

« Previous
« Prev Post
Next »
Next Post »

Tips Berkaitan



0 Komen:

Catat Ulasan