Home » » Nik Zaris Uqasha Senrose Nik Sen bercinta dengan Pekin Ibrahim

Nik Zaris Uqasha Senrose Nik Sen bercinta dengan Pekin Ibrahim

SUKAR menyelami hati pemilik nama penuh Nik Zaris Uqasha Senrose Nik Sen yang dikatakan mempunyai hubungan istimewa dengan pelakon Pekin Ibrahim. Ini kerana wanita yang menggunakan nama pentas Uqasha Senrose itu mengambil pendekatan menutup mulut. Dia tidak mahu melayan cerita itu biarpun kini menjadi topik perbualan peminat industri hiburan.Lebih-lebih lagi sejak tersebar gambar mereka berpegangan tangan ketika bercuti di Phuket, Thailand baru-baru ini. Bagaimanapun pelakon ini menegaskan bahawa hubungan dengan pelakon Pekin sekadar ‘kawan’ sahaja. Ini adalah jawapan stereotaip artis kita sejak lama dulu walaupun ke tahap berpegangan tangan.

Uqasha lebih banyak berdiam diri daripada memberi komen tentang hubungannya dengan Pekin kerana mempunyai alasan tersendiri untuk berbuat demikian.

Menyedari dia baru sahaja bertapak dalam industri hiburan, Uqasha tidak mahu hubungan dengan Pekin menenggelamkan cerita kerjayanya yang sebenarnya tidak banyak untuk diperkatakan. Dia juga tidak mahu masyarakat menuduhnya menggunakan Pekin sebagai batu loncatan untuk menempa populariti dalam dunia hiburan.

Lagi pun hubungan Uqasha dengan Pekin masih baru dan terlalu awal untuk diramal apalagi untuk dikongsikan dengan khalayak. Uqasha tidak mahu masyarakat membuat andaian hubungannya dengan Pekin hanya berdasarkan gambar-gambar berpegangan tangan yang tersebar itu. Barangkali ini membuktikan wujud persepsi bahawa artis berbeza dengan orang biasa dalam bab tata susila hubungan antara lelaki dan wanita.

“Sebenarnya hubungan kami ini tidak menjadi buah mulut sehinggalah penyebaran gambar percutian keluarga Sha dengan Pekin di Phuket baru-baru ini.

“Ramai orang salah faham apabila melihat seolah-olah kami bercuti bersama. Sebenarnya keluarga Sha yang sampai dahulu di Phuket. Pekin datang kemudian dan sebagai tetamu keluarga Sha. Jadi tidak salah bukan kalau kami jalan-jalan bersama semasa di sana. Malangnya gambaran sebaliknya berlaku seolah-olah Sha bercuti berdua sahaja," tegas wanita yang membahasakan diri Sha ini.
Mengulas tentang alasan yang membuatkan pelakon berusia 21 tahun ini untuk tidak mahu memanjangkan cerita mengenai hubungannya dengan Pekin, Uqasha berkata, soal itu tidak wajar dibincang secara terbuka kerana membabitkan maruah keluarga kedua-dua pihak.

Sebagai wanita bujang yang masih berpegang dengan adat dan norma Timur juga tambahnya, agak kurang manis untuk berbicara secara terbuka tentang kisah cinta dengan seseorang jejaka.

Oleh sebab itu Uqasha senang memilih untuk menutup mulut kerana khuatir kenyataan yang dikeluarkan bakal mengundang rasa kurang senang masyarakat sekeliling.
Bagaimanapun dalam berdiam diri itu, Uqasha tidak keberatan untuk berkongsi sebab mengapa dia selesa berkawan dengan aktor berwajah manis itu.
Menurutnya besar kemungkinan mereka rapat disebabkan mempunyai latar belakang dari satu negeri yang sama iaitu Kelantan.

“Sebenarnya Pekin berasal dari Kota Bharu. Sha pula ada ramai sanak saudara dari Pasir Puteh dan beberapa tempat di negeri Cik Siti Wan Kembang," ujarnya lagi.

Terima jodoh

Berbicara soal jodoh, bekas pramugari syarikat penerbangan murah itu tidak menolak kemungkinan sekiranya bakal menamatkan zaman bujangnya pada masa terdekat.
Bahkan Uqasha memberitahu sudah bersedia memikul tanggungjawab isteri seandainya dipertemukan dengan calon suami terbaik dan bersesuaian.
Lebih utama, syarat yang dititikberatkan adalah bakal suaminya perlu pandai mengambil hati ibu dan bapanya yang merupakan tulang belakangnya. Bagi anak kedua dari tujuh beradik ini restu ibu bapa amat diutamakan dalam memastikan ikatan perkahwinannya berpanjangan.

“Ciri-ciri lelaki idaman Sha adalah seorang bertanggungjawab, mengambil berat dan penyayang. Sha tidak kisah berkahwin muda.

“Cuma masalah sekarang ini Sha kena cari calon suami yang betul-betul sesuai. Kalau boleh Sha mahu hubungan tersebut berpanjangan sehingga ke hujung nyawa.
“Ada orang cakap yang Sha masih terlalu muda untuk memikirkan soal kahwin. Takut nanti tidak terkejar mahu bekerja dan menguruskan rumah tangga.
“Apa pun sebagai hamba-Nya, Sha berdoa agar dipertemukan dengan calon suami yang terbaik dan mampu membimbing Sha nanti," ujarnya tanpa berselindung.
Ketika diusik sama ada wujud ciri-ciri lelaki idaman pada Pekin, anak kelahiran Kuala Lumpur ini sekadar tersenyum malu tanpa memberi sebarang jawapan pasti.



Terima kasih kerana membaca Nik Zaris Uqasha Senrose Nik Sen bercinta dengan Pekin Ibrahim. Jika berguna, tolong kongsikan di media sosial.

« Previous
« Prev Post
Next »
Next Post »

Tips Berkaitan



0 Komen:

Catat Ulasan