Home » » Soalan peperiksaan SPM lebih memihak kepada pelajar perempuan?

Soalan peperiksaan SPM lebih memihak kepada pelajar perempuan?

"SAYA belajar bersungguh-sungguh, tumpukan perhatian semasa guru mengajar, mengulang kaji pelajaran, tanya cikgu jika tak faham dan banyak buat latihan." Biasanya inilah jawapan apabila ditanya sebab pelajar cemerlang dalam peperiksaan.
Memang benar sikap pelajar sebegini menjadi faktor penting menentukan kejayaan akademik. Bagaimanapun terdapat beberapa faktor lain seperti faktor guru, pentadbir sekolah, kemudahan pengajaran dan pembelajaran, prasarana sekolah, keluarga, rakan sebaya, masyarakat dan persekitaran luar sekolah.
Berdasarkan kajian, seorang pakar pendidikan di Pusat Permata Pintar Negara, Prof. Dr. Rahayah Arifin mendapati prestasi pelajar lelaki dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) semakin menurun sejak 15 tahun lalu berpunca daripada bentuk soalan peperiksaan yang lebih memihak kepada pelajar perempuan.
Menurutnya, soalan SPM lebih menjurus kepada kemahiran menulis, teks dan linguistik yang lebih dikuasai pelajar perempuan. Manakala soalan yang mengandungi elemen berkaitan angka, grafik, visual, logik dan matematik tidak ditekankan dalam SPM sedangkan inilah yang lebih dikuasai pelajar lelaki.
Dalam menyediakan set soalan untuk sesuatu kertas peperiksaan biasanya ada keseimbangan antara tiga aras kesukaran iaitu soalan mudah, soalan sederhana dan soalan yang lebih mencabar. Soalan juga hendaklah meliputi semua tajuk utama dalam sukatan pelajaran supaya taburannya lebih menyeluruh.
Eloklah Lembaga Peperiksaan Malaysia meneliti populariti soalan berdasarkan jantina ini dan menilai kesesuaiannya, dalam proses pembinaan soalan untuk kita berlaku adil. Keseimbangan soalan yang memihak kepada pelajar lelaki dan perempuan wajar diambil kira. Kasihan pelajar lelaki kerana selama ini bentuk soalan lebih memihak kepada pelajar perempuan.
Namun pelajar lelaki perlu membaiki disiplin diri. Kita kerap mendengar pelbagai masalah pelajar seperti ponteng sekolah, ponteng kelas, kurang memberi perhatian ketika guru mengajar, tidak minat belajar, malas berfikir serta tidak mengulangkaji pelajaran. Juga tiddak buat kerja rumah, tiada jadual belajar, selalu berkeliaran dan sebagainya.
Jika pelajar lelaki masih terus mendominasi sikap negatif tersebut, prestasi cemerlang SPM akan tetap memihak kepada pelajar perempuan.


Terima kasih kerana membaca Soalan peperiksaan SPM lebih memihak kepada pelajar perempuan?. Jika berguna, tolong kongsikan di media sosial.

« Previous
« Prev Post
Next »
Next Post »

Tips Berkaitan



0 Komen:

Catat Ulasan