Home » » Hodak puji Ahmad Fakri

Hodak puji Ahmad Fakri

Kota Bharu: Ketua jurulatih Kelantan, Bojan Hodak memuji persembahan penyerang The Red Warriors (TRW), Ahmad Fakri Saarani yang beraksi cemerlang pada saingan Liga Super menentang Pahang, di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, malam kelmarin.

Jurulatih berusia 42 tahun dari Crotia itu berkata, prestasi permainan Ahmad Fakri kini semakin meningkat apabila berjaya mencipta beberapa peluang terbaik pada perlawanan itu.
Katanya, beliau berharap bekas penyerang kelab Portugal Atletico SC itu dapat mengekalkan prestasi terutama menjelang perlawanan akhir Piala FA dengan Johor Darul Takzim (DT) di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.


"Ahmad Fakri bermain sangat baik malam ini (malam kelmarin). Dia berhak mendapat pujian apabila bekerja keras sepanjang perlawanan dan boleh dianggap sebagai pemain paling rajin.

"Dia berjaya mencipta beberapa peluang selain turut mendapat peluang untuk menjaringkan gol, namun hanya nasib tidak menyebelahinya.

Badhri, Zamri jadi wira

"Prestasinya baik setakat ini dan ia perlu dikekalkan menjelang perlawanan akhir Piala FA. Dia hanya perlu lebih tenang di hadapan pintu gol," katanya ketika ditemui selepas perlawanan Liga Super antara Kelantan dengan Pahang di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, malam kelmarin.
Dalam perlawanan itu, kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi dan Zamri Ramli menjadi wira TRW apabila masing-masing menyumbangkan satu gol untuk memastikan kemenangan 2-0 ke atas Pahang.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan Kelantan merampas kedudukan tangga kelima dalam liga daripada Pahang.

Selain itu, Hodak berkata, beliau turut gembira apabila pemain tengah, Indra Putra Mahayuddin sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan dan boleh diturunkan pada perlawanan akhir Piala FA.

Katanya, semua pemainnya berada tahap terbaik menjelang perlawanan akhir itu kecuali Dickson Nwakaeme yang masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

"Indra sudah pulih dan ia memberi impak yang baik kepada pasukan dalam melakukan persediaan untuk final Piala FA," katanya


Terima kasih kerana membaca Hodak puji Ahmad Fakri. Jika berguna, tolong kongsikan di media sosial.

« Previous
« Prev Post
Next »
Next Post »

Tips Berkaitan



0 Komen:

Catat Ulasan