Home » » Mazda CX-5 model CKD turun harga

Mazda CX-5 model CKD turun harga

SHAH ALAM 17 Jun - Bermaz Motor Sdn. Bhd., pengedar eksklusif kenderaan Mazda menawarkan penurunan kos pemilikan kereta sebanyak RM21,000 bagi model CX-5 melalui insentif pemasangan tempatan (CKD) yang ditawarkan kerajaan.
Harga model CX-5 versi CKD yang dilancarkan bulan lalu telah turun sebanyak RM15,000 berbanding model diimport sepenuhnya (CBU) serta Mazda menambah jaminan penyelengaraan dan alat ganti percuma selama tiga tahun bernilai RM6,000 menjadikan jumlah penurunan keseluruhan berjumlah RM21,000.
 
CX-5 CBU dijual pada harga RM155,219.20 manakala versi CKD hanya RM140,219.20.
Hasil perancangan CKD berkenaan, Mazda turut mampu melancarkan varian baharu CX-5 (mid-spec) dengan harga RM133,219.20 iaitu penurunan sebanyak RM22,000 berbanding model CBU dengan hanya mengurangkan beberapa aksesori premium dan ditambah dengan kos penyelenggaraan dan alat ganti percuma, penurunan adalah RM28,000.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Bermaz Motor, Datuk Ben Yeoh berkata, melalui insentif CKD, Mazda hanya membayar duti eksais kurang daripada 40 peratus sekali gus menaikkan jualan lebih 100 peratus berbanding bergantung kepada model CBU sebelum ini.
"Model CKD kami menggunakan kerangka (casis) dan enjin yang sama cuma berbeza adalah aksesori tidak penting. Kualiti dan prestasinya sama seperti model CBU.
"Kami berjaya mengurangkan harga kereta melalui insentif kerajaan dan ini tidak boleh dinafikan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.
 
Yeoh berkata, dasar insentif kerajaan jauh lebih baik berbanding pemotongan duti eksais secara terus kerana dasar berkenaan telah membantu pembangunan keseluruhan industri automotif negara.
Menurutnya, enam kelebihan utama CKD iaitu kemasukan pelabur asing, penubuhan syarikat kerjasama dengan usahawan tempatan, pembangunan vendor tempatan, pemindahan teknologi, ekonomi negara dan kepada rakyat melalui peluang kerjaya serta penurunan harga kereta.
"Berbanding dengan pemotongan duti secara terus, industri yang berkembang hanya pengeluar dan pengedar kereta semata-mata. Daripada segi pembangunan ekonomi secara menyeluruh, CKD lebih banyak membantu berbanding CBU," jelasnya.
"Tanpa program CKD ini, syarikat pengeluar kereta luar hanya perlu menjual kereta sahaja dan tidak perlu membuat pelaburan pengembangan perniagaan secara jangka panjang di sini seperti apa yang berlaku sekarang," jelasnya.
Beliau berkata, penurunan harga kereta boleh datang dalam pelbagai cara seperti promosi, rebat, varian baharu, penyelenggaraan dan alat ganti percuma serta jaminan dalam tempoh yang panjang.
"Pengeluar kereta yang menerima insentif CKD akan berjaya mengurangkan harga kereta secara berperingkat bergantung kepada tambah nilai komponen tempatan.
 
"Tidak relevan untuk mengumumkan penurunan harga dalam tempoh yang dekat daripada penurunan sebelum ini, kerana akan menjejaskan pelanggan yang telah membuat pembelian.
"Oleh itu, strategi pengurangan kos pemilikan adalah cara terbaik untuk menyalurkan penurunan harga kepada rakyat dan ini diamalkan di oleh banyak pengeluar," ujarnya.


Terima kasih kerana membaca Mazda CX-5 model CKD turun harga. Jika berguna, tolong kongsikan di media sosial.

« Previous
« Prev Post
Next »
Next Post »

Tips Berkaitan



0 Komen:

Catat Ulasan