Home » » 'Tak perlu gantung, pecat terus'

'Tak perlu gantung, pecat terus'

KUALA LUMPUR - "Tak perlu gantung-gantung. Suruh dia (FAM) pecat saya terus.''
Demikian tegas bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim yang menggesa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) 'membuangnya' terus daripada terlibat dalam arena bola sepak supaya tidak membuang masa memanggilnya untuk dibicarakan selepas mengkritik badan induk itu, baru-baru ini.
Walau bagaimanapun, di sebalik gesaan tersebut, bekas Menteri Besar Perlis yang kini Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu melahirkan rasa pelik terhadap sikap FAM yang terlalu 'manja' apabila langsung tidak boleh dikritik.
Sambil menyifatkan undang-undang yang diguna pakai FAM untuk bertindak terhadap pengkritik sebagai 'tidak siuman', tegas Shahidan, FAM seharusnya berterima kasih terhadapnya yang telah mengeluarkan perbelanjaan sendiri bagi menampung perbelanjaan PFA.
"Sepatutnya FAM ucap terima kasih kepada saya, bukannya gantung. Tetapi orang yang cakap sebegini (FAM) tak pernah nak kaji, pandai cakap sahaja.

"PFA minta duit tiap-tiap minggu, setiap kali perlawanan nak kena bayar RM11,000. Patut ucap terima kasih kepada saya (sebab bayar gaji PFA) tetapi sepatah tak ucap terima kasih,'' katanya.
Shahidan sebelum ini mengkritik FAM kerana tidak 'menjenguk' masalah kewangan dihadapi PFA.
Beliau yang sebelum ini lantang mengkritik FAM digantung 30 bulan selain didenda RM39,000 dan hilang status sebagai Presiden PFA, anggota Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM dan anggota Jawatankuasa Kewangan FAM sehingga September 2015.

Kritikan terbaharunya membuatkan Jawatankuasa Tatatertib FAM akan menilai sama ada Shahidan wajar dibicarakan selepas mengkritik badan induk itu biarpun dalam tempoh penggantungan.
Kepada soalan mengapa FAM dilihat seakan sebuah badan kebal sehingga tidak boleh dikritik, Shahidan berkata, beliau akan terus meminta rakyat untuk mengkritik 'perangai' badan induk itu.
"Saya akan minta rakyat terus kritik perangai FAM. Tan Sri Annuar Musa, Datuk K. Rajagobal keluar kenyataan tiap-tiap hari mengenai FAM, tak kena gantung pun.
"Kalau saya (kritik), terus mahu hukum,'' katanya.
Beliau kemudiannya terus membuat penegasan berikut : "Pecat sahaja saya. Tapi dengan syarat, jangan bagi PFA 'kacau' saya lagi (minta bayar gaji pemain). Saya tidak mahu ada apa-apa kaitan lagi dalam persatuan itu.''



Terima kasih kerana membaca 'Tak perlu gantung, pecat terus'. Jika berguna, tolong kongsikan di media sosial.

« Previous
« Prev Post
Next »
Next Post »

Tips Berkaitan



0 Komen:

Catat Ulasan