Home » » Microsoft tamat perniagaan Surface RT

Microsoft tamat perniagaan Surface RT

Kurang setahun selepas Microsoft meneroka pasaran komputer tablet menerusi pelancaran Surface, ia sudah mula menunjukkan kejatuhan, justeru menyebabkan syarikat itu menamatkan perniagaan Surface RT. Tindakan itu dibuat selepas ia berusaha mengurangkan harga tablet itu untuk merangsang permintaan.Keputusan pendapatan sukuannya juga menunjukkan Windows 8, sistem operasi yang direka bagi merapatkan jurang antara PC dan tablet, menyaksikan ia kurang mendapat sambutan sekali gus menyumbang kepada kejatuhan pendapatan dalam unit perisian sistem operasinya.


 
Salah langkah dalam strategi bagi kedua-dua barisan produk mengecewakan Wall Street dan saham menjunam hampir tujuh peratus kepada AS$33.10 pada dagangan kelmarin.

Penurunan nilai bagi kerugian yang dijangkakan terhadap tablet Surface RT itu dianggarkan bernilai sehingga AS$900 juta. Jika tanpa tablet itu juga, keputusan kewangan Microsoft sudah dijangka akan menurun.

Keputusan itu dibuat seminggu selepas syarikat itu mengumumkan penyusunan semula utama untuk membantu ia berubah menjadi sebuah syarikat "peranti dan perkhidmatan" yang akan kurang bergantung kepada penyediaan perisian untuk komputer peribadi.

Penurunan pendapatannya bagaimanapun menimbulkan persoalan baru sama ada peralihan itu akan berjaya.
"Ia tidak memberi banyak keyakinan kepada semua pihak," kata Penganalisis Nomura Securities, Rick Sherlund.

"Anda dalam perniagaan perkakasan sekarang dan tidak lama selepas menyertainya, anda mempunyai turun nilai yang begitu cukup besar. Ia memalukan."

Kedua-dua Windows 8 dan tablet Surface mewakili pertaruhan besar Microsoft di pasaran komputer tablet ketika jualan PC terus merosot. Firma penyelidikan IDC and Gartner minggu lalu berkata bahawa penghantaran PC global jatuh 11 peratus pada suku April-Jun. Ia adalah penurunan suku tahunan kelima berturut-turut.

Mengakui kesukaran syarikat dalam melakukan perubahan itu, Ketua Pegawai Kewangan Microsoft, Amy Hood memberitahu pelabur pada panggilan persidangan bahawa "perjalanan itu akan mengambil masa."

"Kami tahu kami perlu melakukan yang lebih baik," katanya. "Kami yakin syarikat sedang bergerak ke arah yang betul."

Microsoft mengurangkan harga Surface RT dari AS$499 kepada AS$349 pada Ahad lalu, satu langkah dibuat untuk merangsang jualan di tengah-tengah permintaan yang lembap.

Microsoft mula menjual tablet Surface pada Oktober. Syarikat itu menghantar kira-kira sejuta tablet dalam tempoh tiga bulan pertama pada 2013, menurut firma penyelidikan IDC. Ini termasuk kira-kira 260,000 bagi versi nipis RT dan 750,000 versi Pro yang serasi dengan program Windows yang lama.

Penghantaran itu menyaksikan Microsoft menguasai dua peratus dalam pasaran tablet. Manakala, Apple Inc terus kekal sebagai peneraju dengan menguasai 39.1 peratus dan diikuti oleh Samsung Electronics Co, ASUS Computer Inc, Amazon.com Inc dan Acer Inc.


Terima kasih kerana membaca Microsoft tamat perniagaan Surface RT. Jika berguna, tolong kongsikan di media sosial.

« Previous
« Prev Post
Next »
Next Post »

Tips Berkaitan



2 Komen: