Home » , » Pupuk anak solat Terawih

Pupuk anak solat Terawih

Membawa anak ke masjid atau surau untuk bersolat tarawih bukan asing bagi sesetengah ibu bapa. Amalan berkenaan dipuji kerana ia mampu memberi pendedahan kepada anak terhadap kepentingan menjalankan tanggungjawab itu sebagai umat Islam.
Pelbagai kerenah dan situasi dapat disaksikan pada ketika itu yang sebilangannya hilang fokus bukan untuk beribadat tetapi lebih banyak bermain hingga mengganggu jemaah lain.

KITA WAJAR MENGAJAR ANAK BERSEMBAHYANG LEBIH AWAL SUPAYA MEREKA TIDAK KEKOK MELAKUKANNYA" Mohd Zawawi Yusof, Penceramah bebas

Penceramah bebas, Datuk Mohd Zawawi Yusof, berkata membawa anak kecil ke masjid atau surau menunaikan solat tarawih adalah amalan baik untuk mendekatkan diri dengan Allah pada usia muda.

Katanya, sewajarnya ibu bapa menerapkan nilai keagamaan kepada anak pada awal usia supaya mereka memahami kepentingan agama khususnya solat sebagai tiang agama.

"Kita juga wajar mengajar anak bersembahyang lebih awal supaya mereka tidak kekok melakukannya. Jika anak 10 tahun baru belajar solat ia dikira terlewat dan bimbang semakin susah untuk melenturnya," katanya ketika dihubungi di sini, baru-baru ini.

Ramadan adalah antara bulan yang untuk menerapkan nilai berkenaan dengan menggalakkan mereka ke masjid atau surau untuk melakukan solat tarawih.
Menunaikan solat di masjid dan surau amalan yang baik untuk membiasakan dengan institusi itu. Ia juga akan memberi kefahaman kepada mereka mengenai relevan tarawih dengan ibadah puasa.

"Bagaimanapun, sebelum itu ibu bapa perlu menerangkan kepadanya tujuan
pergi ke masjid atau surau adalah untuk bersolat.

"Jika mahu membawa anak ke masjid, ibu bapa perlu menerangkan anak terlebih dulu tujuannya. Ajar dulu anak cara bersolat dengan betul, apa yang perlu dan tidak patut di buat ketika bersolat.

"Antara beritahu anak jangan duduk dalam saf jemaah bersama orang dewasa, elakkan membuat bising, bercakap dengan suara yang kuat dan berlari atau bermain. Ini juga sebagai satu latihan untuk mendisiplinkan anak," katanya.

Bagaimanapun, janganlah membawa anak yang terlalu kecil dan belum tahu pandai membuang air kecil, masih memakai lampin dan menyusu bagi mengelak tumpuan ibu bapa dan jemaah lain terganggu ketika beribadat.

"Malah, anak yang umur begitu selalunya suka menangis dan bermain. Keadaan akan menjadi bising dan tidak terkawal," katanya.

Tabiat membawa ke masjid itu dengan sendirinya menimbulkan keseronokan dan keterujaan mereka untuk bersembahyang berjemaah.

Ruang khas

"Cuma saya dapati sebilangan masyarakat kita kurang mesra dan marah apabila ada kanak-kanak membuat bising kerana mengganggu jemaah lain beribadat. Ini antara perkara yang perlu dilalui ibu bapa.

"Secara psikologinya keadaan itu menjadikan kanak-kanak takut untuk ke masjid dan ini juga mungkin juga mereka tawar hati mahu bersolat," katanya.

Beliau menyarankan jawatankuasa masjid menyediakan bilik atau ruang khusus bagi menempatkan mereka ketika ibu bapa bersolat.

"Jika boleh ada seorang penjaga yang boleh memberi nasihat atau teguran kepada kanak-kanak. Ada kanak-kanak yang hiperaktif berlari di celah-celah jemaah malah ada juga yang berlari sampai ke imam.

"Di Madinah masih boleh dikawal kerana ibu bapa mengikat anak mereka ketika bersembahyang di atas padang bagi mengelakkan anak hilang.

Zawawi menggalakkan ibu bapa supaya duduk dalam saf paling belakang supaya dapat memerhatikan anak.

"Ibu bapa boleh bersolat sesekali di rumah dan diselang-selikan di masjid. Suasana solat di masjid berbeza. Jika tidak digalakkan ke masjid ia akan berterusan sampai ke tua," katanya.

Masjid bukan tempat bermain

Anida Salwani Abdul Hadi, 35, berkata membawa anak menunaikan solat tarawih di masjid adalah amalan mulia, cuma ibu bapa perlu memastikan anak mereka berkelakuan baik untuk mengelak mengganggu jemaah lain.

"Kita tidak mahu ibu bapa bawa ke masjid kerana anaknya tidak ada sesiapa yang menjaganya. Jika anak nakal dan membuat bising ia boleh menjadi punca perselisihan faham antara jemaah lain. Tarawih adalah sunat dan jika terpaksa lakukan saja di rumah," katanya." katanya ibu kepada empat cahaya mata ini.

Bagi Leny Herlina Agus Syarif, 37, ibu bapa perlu menerangkan kepada anak tujuan membawa mereka ke masjid untuk beribadat dan bukan tempat bermain.

Katanya, ada ibu bapa yang membiarkan anak mereka bermain dan tidak menghiraukan sensitiviti jemaah yang lain.

"Tak salah kita memberi amaran supaya anak harus berada dekat bersama mereka. Terpulang kepada ibu bapa yang menjaga anak mereka ke masjid," katanya.

Nini Marlini Ghazali, 36, yang memiliki tiga anak berusia satu hingga sembilan tahun, menyarankan ibu bapa yang tahu anak sukar dikawal dan boleh mengundang musibah atau menimbulkan masalah kepada orang lain tidak membawa mereka ke masjid.

"Ibu bapa yang mahu membawa anak ke masjid perlu didik anak terlebih dulu supaya mereka tidak mengganggu jemaah yang lain," katanya

INFO: Empat tahap mendidik anak mengikut Sunnah Rasulullah

PERTAMA:
Umur 1-7 tahun:


Pada tahap umur kanak-kanak itu, Rasulullah s.a.w menyuruh kita untuk memanjakan, mengasihi dan menyayangi anak dengan kasih sayang yang tidak terbatas. Biarkan anak bermandikan kasih sayang pada tahap ini.

KEDUA
Umur 7-14 tahun.


Rasulullah s.a.w menyarankan ibu bapa menanamkan disiplin kepada anak-anak dengan mengajar dan menyuruh untuk mengerjakan solat. Bahkan apabila umurnya sudah 10 tahun, ayah boleh memukul anaknya jika enggan mengerjakan solat.

Mengikut pakar jiwa anak, pada umur ini adalah masa terbaik untuk menanamkan disiplin dan pembentukan sahsiah seorang anak.

Fasa ini juga adalah yang terbaik untuk menjadikan ia seorang Muslim, Yahudi, Nasrani dan Majusi. Setiap anak yang lahir dalam keadaan suci maka ayah dan ibu yang akan mencorakkannya.

KETIGA
Umur 14-21 tahun.


Pada tahap ini, orang tua perlu menukar didikan dengan menekankan disiplin dengan cara yang keras dan rasional. Jadikan mereka sahabat dalam berdiskusi, mengajaknya ikut dalam membincangkan masalah keluarga dan diberikan satu-satu tanggungjawab dalam hal tertentu di rumah. Hal ini penting supaya anak berasa dirinya mempunyai tanggungjawab mengambil berat hal dalam keluarga.

KEEMPAT
Umur lebih 21 tahun.


Ibu bapa boleh melepaskan anak untuk belajar menempuh hidup. Tetapi tetap melihat perkembangannya dan memberikan nasihat dan peringatan apabila anak tersalah atau terlupa.

INFO:
* Dari ilmu kajian sains, tahap pembinaan jentera asas akal (otak-saraf manusia) matang mencapai lebih daripada 95 peratus pada usia tujuh tahun. Pencapaian tahap pembentukan inilah yang memberi anak kita landasan untuk mampu berfikir, memilih, merasa yakin, berazam dan mudah mirip untuk merasa syukur serta menjaga kebaikan dirinya, insya-Allah


Terima kasih kerana membaca Pupuk anak solat Terawih. Jika berguna, tolong kongsikan di media sosial.

« Previous
« Prev Post
Next »
Next Post »

Tips Berkaitan



2 Komen:

  1. InsyaAllah semoga dipermudahkan saya untuk mendidik anak dalam menunaikan solat..aminnn

    BalasPadam
  2. sama-sama le kita tuan Hafizul

    BalasPadam