Home » » Zizan sarung kostum cicak

Zizan sarung kostum cicak

Selepas mencatat kejayaan dengan dua judul terdahulu, filem adiwira tempatan, Cicak Man, akan kembali menemui penonton dengan episod terbaru tidak lama lagi. Filem yang sekali lagi mendapat sentuhan pengarah, Yusry Abdul Halim, itu dijangka memulakan penggambaran pada 15 Ogos ini. Memasuki siri ketiga penerbitan, Cicak Man 3 juga akan tampil dengan pembaharuan apabila menyandarkan muka baru bagi membarisi filem terbitan KRU Studios ini.


Ketua Pegawai Eksekutifnya, Norman Abdul Halim, yang dihubungi HIP Jumaat lalu, berkata pihaknya tidak berniat mengenepikan pelakon yang pernah memantapkan filem terbabit sebelum ini, sebaliknya pemilihan wajah baru dilakukan bagi memberi suntikan kelainan kepada jenama berkenaan.



Antara barisan pelakon yang dipilih membintangi filem susulan ini ialah Lisa Surihani, Zizan Razak, Fizz Fairuz dan Yus Jambu.

Bagaimanapun maklumat lanjut mengenai filem berkenaan hanya akan didedahkan pada majlis sidang media yang bakal diadakan Rabu ini.

"Memang ada beberapa elemen pembaharuan dalam judul ketiga ini, tetapi kita masih lagi mengekalkan kesinambungan cerita di antara filem yang pertama hingga ketiga. Logo Cicak Man juga masih kita kekalkan, cuma mungkin ada pembaharuan dari segi kostum.

"Walaupun menampilkan wajah baru, kita tidak mengenepikan pelakon lama yang pernah menjayakan filem Cicak Man sebelum ini. Tidak bermakna apabila khidmat mereka tak diperlukan, kita terus mengetepikan mereka. Watak mereka langsung tidak kita matikan.
Sekiranya kami berhasrat untuk melanjutkan filem ini pada masa akan datang, berkemungkinan pelakon lama seperti Saiful Apek, Sharifah Amani dan yang lain-lain boleh kita panggil lagi," katanya.


 
Lisa dipilih bukan kerana Yusry

Diminta mengulas mengenai pemilihan Lisa sebagai teraju utama, yang mungkin boleh mencetuskan kontroversi berikutan pertalian pelakon itu dengan KRU Studios, Norman menjelaskan, tidak wujud dasar pilih kasih sebaliknya kredibiliti wanita berbakat itu sebagai pelakon popular menjadi faktor utama syarikat produksi berkenaan memilihnya untuk membintangi filem terbabit.

"Kami memilih Lisa bukan sebab dia isteri Yusry, tetapi kita turut mengambil kira kedudukannya sebagai antara pelakon yang masih lagi popular dan relevan dengan industri perfileman hari ini.

"Begitu juga dengan pemilihan Zizan, dia juga antara pelakon yang cukup popular pada masa kini. Dengan pemilihan pelakon yang ada nama, ia akan memudahkan kami dalam soal tajaan," katanya.

Pungutan hampir cecah RM10 juta

Bakal memulakan penggambaran selepas Aidilfitri nanti, penggambaran Cicak Man 3 dijadualkan memakan masa selama 45 hari.

Menurut Norman lagi, dia difahamkan penggambaran akan dijalankan di sekitar Kuala Lumpur serta di beberapa negeri lain.

Cicak Man diperkenalkan buat kali pertama pada 2006 dan ia mencatat kejayaan luar biasa dengan catatan pecah panggung RM6 juta. Dua tahun kemudian, Cicak Man 2 - Planet Hitam menemui peminat di pawagam dan mencatat kutipan RM2.84 juta.

Selain Apek dan Amani, antara barisan pelakon yang pernah membintangi filem Cicak Man termasuklah Fasha Sandha, Datuk Aznil Nawawi, Adlin Aman Ramlie, Datuk AC Mizal, Yusry dan Tamara Blezinsky


Terima kasih kerana membaca Zizan sarung kostum cicak. Jika berguna, tolong kongsikan di media sosial.

« Previous
« Prev Post
Next »
Next Post »

Tips Berkaitan



1 Komen:

  1. sebab ada nama dan popular..bagi peluang pelakon lain nghee...mana tahu akana da bakat lebih bagus lagi..

    BalasPadam